KUALA TERENGGANU: Anak syarikat Kerajaan Negeri Terengganu, Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC Berhad) menerusi anak syarikatnya, Eastern Pacific Properties Sdn. Bhd. (EPPSB), baru-baru ini memeterai perjanjian kerjasama bersama Advantage Marine Services Sdn. Bhd. (AMS) dalam menyokong agenda tenaga boleh baharu negara.
EPIC Berhad dalam satu kenyataan memaklumkan, menerusi perjanjian tersebut, EPPSB memainkan peranan sebagai penyedia utama infrastruktur panel Solar Fotovoltaik bagi kemudahan gudang dan limbungan AMS di Gelang Patah, Johor.
Majlis pemeteraian dokumen perjanjian itu disempurnakan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Dr. Ts. Muhtar Suhaili dan Pengarah Urusan AMS, Andrew Teow. Yang hadir sama Ketua EPPSB, Azman Muda dan Pengarah AMS, Victor Wong.
“Kerjasama strategik ini mencerminkan komitmen berterusan EPIC Berhad dan EPPSB dalam menyokong agenda tenaga boleh baharu negara di samping menyokong AMS melaksanakan operasi yang lebih cekap tenaga, mampan serta berteraskan amalan rendah karbon,” katanya. – UTUSAN










