Enam tahun usia masuk sekolah - Utusan Malaysia

Enam tahun usia masuk sekolah

ANWAR Ibrahim (tengah) bersama dua timbalannya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek (kanan) dan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir (kiri) ketika meluncurkan Rancangan Pendi­dikan Negara (RPN) 2026-2035 di Putrajaya, semalam. – PEJABAT PERDANA MENTERI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kemasukan ke ta­hun satu persekolahan pada usia enam tahun adalah antara perkara utama terkan­dung da­lam Rancangan Pendi­dikan Negara (RPN) 2026-2035 di bawah tanggungjawab Kementerian Pen­­didikan (KPM).

Perkara lain termasuk prasekolah diawalkan pada usia lima tahun mulai tahun hadapan, sementara Matriks Pembelajaran Malaysia diperkenalkan untuk mentaksir pembelajaran bagi mu­rid tahun empat dan tingkatan tiga.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perubahan usia memasuki persekolahan itu belum diwajibkan, iaitu ibu bapa mempunyai pi­lihan sama ada mahu menyekolahkan anak mereka pada usia enam atau tujuh tahun.

“Anak-anak sekarang pada usia lima tahun sudah pandai dan lebih matang mengikut per­edaran masa dan tuntutan zaman.

“Namun untuk tahun 2027 kita belum mewajibkan (usia enam tahun) kerana mungkin ada ibu bapa yang rasa anak-anaknya belum bersedia.

“Kita tetapkan masih boleh masuk tahun satu pada usia tujuh tahun tetapi kita galakkan ibu bapa yang bersedia dari sekarang supaya anak-anak umur lima tahun masuk prasekolah.

“Dan prasekolah sekarang ini kita beri tumpuan agar seluruh sistem prasekolah itu kita minta KPM ambil alih dan selaraskan,” katanya pada Majlis Peluncuran RPN 2026-2035 di sini, semalam.

Rancangan Pendidikan Malaysia (RPM) 2026-2035 dilancarkan bersama Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035 di bawah kerangka menyeluruh RPN untuk tempoh 10 tahun.

Anwar berkata, Matriks Pembelajaran Malaysia akan melibatkan Pengukuran Pem­belajaran Tahun Empat bagi empat mata pelajaran utama iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains mulai tahun ini.

Katanya, Pengukuran Pem­belajaran Tingkatan Tiga pula dilaksanakan bagi lima mata pelajaran utama iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Sejarah bermula 2027.

Beliau berkata, kedua-dua pengukuran akan ditadbir oleh Lembaga Peperiksaan (LA) secara berpusat.

“Maknanya, kita buat penilaian lebih awal dan dua tahun selepas itu darjah lima, darjah enam itu kita akan perbaiki dan letakkan anak-anak supaya berikan ruang mereka perbaiki dalam dua tahun sebelum masuk ke tingkatan satu,” katanya.

RPN turut menyentuh semua sekolah pelbagai aliran termasuk sekolah antarabangsa, sekolah agama serta sekolah dalam aliran Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) diwajibkan mengambil subjek Bahasa Melayu dan Sejarah dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Perdana Menteri berkata, kontroversi berkaitan isu bahasa akan dapat dileraikan, sekali gus hal berkaitan syarat kemasukan ke universiti awam (UA) tidak lagi berbangkit selepas ini.

“Semua sistem pendidikan dalam negara kita menetapkan dan wajibkan Bahasa Melayu. Sama ada di sekolah antarabangsa tanpa kecuali diwajibkan mengambil ujian Bahasa Melayu SPM dan juga Sejarah,” katanya.

Di bawah RPTM pula, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan mengambil alih sistem prauniversiti atau tingkatan enam dan matrikulasi bermula tahun depan.

Ini bermakna, pelajar yang akan mengikuti sistem pendidikan berkenaan akan mula memasuki kategori pendidikan tinggi.

Selain itu, semua pelajar tempatan di UA dan swasta akan diwajibkan mempelajari Perlembagaan Persekutuan dan sejarah Malaysia menerusi mata pelajaran umum mulai tahun ini.

Anwar berkata, dua bidang itu akan diajar dalam Bahasa Melayu dan dimasukkan sebagai kurikulum mata pelajaran umum yang sudah dirombak semula.

“Di peringkat pendidikan tinggi, kita tak wajib Bahasa Melayu dan Sejarah tapi mulai tahun ini kita akan per­kenalkan mata pelajaran umum yang dirombak semula dan diajar dalam Bahasa Me­layu di seluruh UA dan swasta bagi pelajar Malaysia.

“Iaitu isu Perlembagaan (Persekutuan), isu sejarah Malaysia itu dimasukkan dalam kurikulum, ia tidak terlalu menekan dan kita tetap mahu anak-anak dalam pelbagai bidang dan disiplin yang memerlukan tumpuan yang lebih,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×