PETALING JAYA: Satu sindiket aktif memproses dan membungkus air ketum di sebuah premis kediaman di Rawang, Selangor ditumpaskan apabila enam individu ditahan pada 22 Januari lalu.
Kesemua suspek terdiri seorang lelaki tempatan, serta tiga lelaki dan dua perempuan warga asing berusia antara 21 hingga 38 tahun itu ditahan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah, Gombak.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Polis, Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, kesemua yang ditahan terdiri daripada seorang lelaki tempatan serta tiga lelaki dan dua wanita warga asing berusia dalam lingkungan 21 hingga 38 tahun.
Katanya, pemeriksaan pada mulanya dijalankan ke atas sebuah kenderaan jenis Toyota Hiace yang berada di hadapan premis.
Katanya, sebanyak 2,026 botol air ketum dengan jumlah isipadu keseluruhan 1,215,600 mililiter, 20 kilogram daun ketum, pelbagai peralatan memproses dan sebuah kenderaan telah dirampas.
“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM21,060. Aktiviti tersebut dipercayai untuk diedarkan ke pasaran sekitar Lembah Klang,” katanya dalam kenyataan hari ini,
Katanya, kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan ujian saringan awal air kencing adalah negatif.
“Permohonan reman telah dibuat di Mahkamah Selayang pada 23 Januari lalu dan kes disiasat di bawah Seksyen 30(3), Akta Racun 1952,” jelasnya. – UTUSAN









