Ella ambil positif soal perbandingan - Utusan Malaysia

Ella ambil positif soal perbandingan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ratu Rock, Ella memaklumkan enggan mengambil pusing sekiranya ada pihak yang membandingkan konsert Majlis Tertinggi RockQueen – Ella dengan konsert-konsert terdahulu yang pernah dilaksanakan di lokasi yang sama iaitu Stadium Nasional Bukit Jalil.

Kata Ella, tumpuan utamanya buat masa ini adalah untuk memberi persembahan terbaik pada 14 Februari ini.

“Saya tidak berdepan sebarang tekanan. Konsert-konsert artis lain yang lepas memberi semangat untuk saya terus melangkah ke hadapan. Saya ambil semua itu secara positif.

“Kawan-kawan juga banyak memberi dorongan. Insya-Allah. Tapi, seperti yang kita semua maklum, netizen memang suka memberikan pelbagai komen.

“Saya rasa biarlah, kerana mereka sendiri mampu menilai. Komen-komen itu pun tidak akan berterusan sampai bila-bila. Apa yang baik kita ambil sebagai pengajaran, yang tidak baik kita ketepikan,” katanya.

Ella ditemui pada majlis makan tengah hari dan pengumuman artis jemputan untuk konsert berkenaan di Cili Kampung, Sunway Pyramid, semalam.

Pemilik nama penuh Nor Zila Aminuddin, 59, memaklumkan dia tidak akan memberi sebarang reaksi atau maklum balas sekiranya berdepan kritikan dan perbandingan daripada netizen.

“Saya tak ada respons setakat ini. Kalau sesuatu itu tidak memberi semangat atau manfaat, lebih baik kita biarkan sahaja.

“Tekanan yang saya rasakan pula hanyalah untuk memastikan persiapan benar-benar rapi. Itulah tekanan saya, untuk bersedia sepenuhnya dan menjayakan misi ini, seterusnya mencipta satu sejarah, insya-Allah,” katanya.

Bercakap soal persiapan konsert, katanya, semua berjalan lancar, namun, masih perlu meniliti beberapa aspek untuk ditambah baik.

“Setakat ini, Alhamdulillah, semuanya berjalan dengan baik. Persiapan saya juga hampur selesai. Sudah tentu masih ada beberapa perkara kecil yang perlu diperhalusi, tetapi setakat ini semuanya baik,” katanya.

Majlis pada semalam itu turut dihadiri Amir Masdi, Sam Bunkface, Tam Spider dan kumpulan The Boys (Ella & The Boys) yang diumumkan sebagai penyanyi jemputan bagi konsert berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN