EAIC mahu setiap agensi, jabatan kerajaan ambil serius syor hukuman tatatertib tangani isu salah laku

EAIC mahu setiap agensi, jabatan kerajaan ambil serius syor hukuman tatatertib tangani isu salah laku

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mahu setiap jabatan atau agensi kerajaan mengambil serius setiap syor hukuman tatatertib dalam isu salah laku yang disiasat pihaknya.

EAIC dalam kenyataan menegaskan, ini termasuk cadangan penambahbaikan sistem serta mekanisme prosedur dalaman, hendaklah diberi perhatian serius dan dipatuhi sepenuhnya.

Katanya, EAIC akan turut merujuk semula kes-kes tatatertib yang tidak atau belum diambil tindakan kepada Pihak Berkuasa Tatatertib (PBT) berkenaan dan akan dipanjangkan kepada ketua perkhidmatan yang berkenaan untuk diambil tindakan segera.

“Tindakan tegas dan pematuhan oleh ketua ketua jabatan merupakan kunci utama dalam memperkukuh integriti penguatkuasaan serta memulihkan kepercayaan rakyat terhadap institusi negara.

“Penyeludupan, rasuah dan kegiatan gelap bukan sahaja menjejaskan kredibiliti agensi, tetapi juga merupakan pengkhianatan terhadap kepentingan rakyat dan negara dan tidak boleh diterima atau dinormalisasikan dalam apa jua keadaan,” katanya hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi amaran kepada pimpinan tertinggi agensi penguat kuasa diberi tempoh seminggu untuk me­laksanakan pembaharuan atau bersedia diturunkan pangkat ke jawatan lebih rendah.

Amaran itu berikutan masih wujud kelemahan serius dalam agensi penguatkuasaan kerajaan dan beliau sudah hilang sabar dengan pelbagai isu rasuah, salah guna kuasa dan tatakelola yang berlaku dalam negara ketika ini.

Sehubungan itu, EAIC berkata, teguran ini adalah sejajar dengan pemantauan dan siasatan EAIC terhadap salah laku, termasuk penyalahgunaan kuasa serta kelemahan dalam ekosistem tadbir urus integriti perkhidmatan awam, khususnya agensi penguatkuasaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN