Angin petang berhembus lembut, membawa bau tanah basah dan desah air Sungai Tadoh yang keruh. Di bawah teduhan pokok meranti, Habib mengikis tapak kasutnya dengan ranting kering. Di sebelahnya, Syihan, dengan mata berkilauan seperti kepingan mika, sedang menyemak peta contengan di atas sekeping kertas lusuh.
“Kau nampak sendiri bijihnya?” Habib bertanya, suaranya dipenuhi rasa ingin tahu yang terselindung di bawah nada berhati-hati.
Habib berusia awal tiga puluhan, tubuhnya sederhana, sentiasa berfikir panjang atau mungkin terlalu lama sebelum bertindak.
Dia adalah seorang ayah kepada dua orang anak, yang kini sangat berharap dapat mengubah nasib keluarga kecilnya dengan sebongkah emas.
Syihan, dua tahun lebih muda, berkulit cerah dan bersikap terburu-buru, melompat terus ke aksi. Dia menepuk peta itu dengan yakin.
“Aku nampak, Bib. Di celah batu besar, ada jalur kilauan warna kekuningan. Kata orang tua-tua, di Hulu Sungai Tadoh, emasnya masih ‘tidur’.”
Kisah tentang emas sudah menjadi satu legenda Kampung Kalai. Namun, itu adalah kawasan larangan, memerlukan permit yang mahal dari Pejabat Tanah.
Syihan dan Habib, dua kawan akrab sejak kecil, kini berkongsi impian yang sama. Impian untuk menjadi orang kaya tanpa melalui jerih perih kerja menoreh getah seperti bapa-bapa mereka sebelum ini.
“Dulang kita macam mana?” Tanya Habib lagi, nadanya kini lebih mendesak.
“Pak Leman kata, dulang kayu cengal kita akan siap hujung minggu ini. Paling elok, paling tahan lasak. Kita akan mulakan sebaik sahaja siap.
Sambil-sambil tunggu kelulusan, aku rasa kita dulang awal pun boleh, nak tunggu giliran lulus memang lambat, banyak kerenah birokrasi, nanti orang lain pula akan datang dan ambil semuanya!”
Kata-kata Syihan membakar semangat Habib. Sesiapa sahaja yang pertama, akan menjadi pemilik kekayaan.
Kelulusan? Itu boleh diuruskan kemudian, apabila emas sudah berada di tangan. Risiko? Ia adalah harga untuk mengubah takdir. Dalam fikirannya, Habib sudah membayangkan untuk ubahsuai reka bentuk rumahnya yang agak terhad keluasannya. Dia ingin menghantar anak-anaknya ke sekolah dengan kereta, bukan dengan motosikal cabuknya lagi.
Seminggu kemudian, dulang cengal mereka yang baru dan berkilat siap. Habib dan Syihan berdiri di hadapan Pak Leman, pembuat dulang yang dihormati di kampung itu. Pak Leman tersenyum melihat hasil kerjanya; dua buah dulang kayu yang sama bentuk, sama saiz, dan sama indah ukirannya.
“Ingat pesan aku,” ujar Pak Leman dengan suara bergetar.
“Mendulang emas bukan sekadar memusingkan air. Ia memerlukan kesabaran dan keikhlasan. Air yang tenang akan mengasingkan butir emas. Hati yang tenang akan mengasingkan butir nikmat,” kata Pak Leman bermadah.
Nasihat itu hanya masuk telinga kiri dan keluar telinga kanan bagi kedua-dua pemuda itu.
Sejak dulang itu berada di tangan mereka, api cemburu mula membakar perlahan-lahan.
“Kau pasti lokasi yang tepat ke Han?” Habib tiba-tiba bertanya pada suatu malam, saat mereka sedang memeriksa dulang masing-masing.
Syihan mengangkat bahu, berlagak tenang.
“Jangan banyak sangka la Bib. Apa yang nak dirisaukan?”
“Aku risaukan kau,” Habib membisik, matanya mengecil.
“Kau ini selalu buat apa selalu nak cepat. Mana tahu, tiba-tiba kau dahulu yang sampai.”
Pagi Selasa. Habib bangun awal dan mendapati dulangnya hilang. Jantungnya berdegup kencang. Dia segera menyerbu rumah Syihan.
“Mana dulang aku, Han?”
Syihan muncul dari dapur, wajahnya keruh.
“Apa bising-bising ini, Bib? Aku tidak tahu apa pun pasal dulang kau tu.”
“Ini mesti kau yang ambil kan? Kau takut aku dapat lebih daripada kau kan!” Habib menolak bahu Syihan.
Syihan membalas tolakan itu dengan marah.
“Dengar sini, Habib. Aku tak perlukan dulang buruk kau itu lah! Aku tahu tempat terbaik, aku tak perlukan kau pun! Mungkin kau sendiri yang sorokkan dulang itu untuk salahkan aku!”
Pertengkaran itu menjadi perkelahian. Jeritan dan tumbukan bersulam dengan kata-kata fitnah dan dendam. Persahabatan mereka, yang dibina sejak kecil, kini hancur berkecai di atas lantai tanah rumah Syihan.
Malam itu, Habib telah menemui dulangnya semula, tersembunyi di bawah timbunan kayu api di belakang rumahnya.
Dia tahu Syihan tidak mengambilnya; rasa cemburu dan paranoid yang telah membutakannya. Namun, Habib terlalu angkuh untuk meminta maaf. Dendam dan ego sudah menguasai dirinya.
“Aku akan mendulang sebelum Syihan sempat ke sana. Aku akan tunjukkan kepadanya,” bisik Habib kepada dirinya sendiri.
Keesokan harinya, sebelum subuh memecah, Habib menyelinap masuk ke hutan, membawa dulangnya dan sekantung beras. Dia mengikut laluan rahsia yang ditunjukkan oleh Syihan ke kawasan Ulu Sungai Tadoh.
Sebaik tiba di lokasi, kawasan itu sangat sunyi, suasana sekeliling masih dilitupi kabus tebal. Perlahan-lahan Habib turun ke sungai. Airnya deras dan sangat sejuk. Dia memulakan prosesnya, mencedok pasir sungai ke dalam dulang, dan mula memutarkannya perlahan-lahan.
Jam demi jam berlalu. Tubuh Habib mula menggigil. Tangan dan lengannya kejang. Pasir yang diangkatnya terlalu berat. Dia cuba mengikut teknik yang Pak Leman tunjukkan, membiarkan air mengalir perlahan-lahan. Tiada apa-apa. Hanya pasir, kerikil, dan lumpur. Matahari sudah terpacak di atas kepala, kulitnya terasa terbakar.
Tiba-tiba, dia ternampak kelibat di seberang sungai. Itu Syihan, dengan dulangnya yang berkilat.
Syihan, yang turut dikuasai ego, juga telah memutuskan untuk pergi mendulang bersendirian. Matanya memandang sinis kepada Habib.
Tiada senyuman, tiada sapaan. Mereka kini bukan kawan, tetapi pesaing yang saling membenci.
Kedua-duanya mendulang tanpa henti, dikuasai oleh kerakusan untuk menjadi yang pertama.
Syihan dengan keghairahan dan sikap terburu-burunya, memilih tempat yang paling deras. Dia berdiri di atas seketul batu besar yang licin.
Habib tancap memerhatikan, dalam hatinya, dia merasakan sedikit kepuasan.
“Biar dia jatuh, biar kau tak dapat apa-apa Syihan!’ Dengus hati kecilnya.
Tanpa amaran, air sungai tiba-tiba naik mendadak. Kepala air datang dari hulu. Syihan menjerit. Batu yang dipijaknya hanyut dibawa arus deras. Syihan tergelincir, jatuh ke dalam pusaran air.
Habib membeku seketika. Mula-mula, dia melihat emas. Kini, dia melihat kawannya lemas. Dulang emasnya jatuh ke dalam sungai.
“Habib! Tolong!” Syihan menjerit, tangannya terkapai-kapai.
Naluri kemanusiaan Habib menguasai rasa dengki. Dia mencampakkan segala-galanya dan melompat ke dalam sungai. Arus yang kuat menghanyutkan Habib. Dia bergelut, cuba mencapai Syihan.
Akhirnya, Habib berjaya menarik Syihan ke tebing, tetapi Syihan sudah tidak sedarkan diri. Habib menggigil kesejukan, terbaring letih di tepi sungai. Nafasnya tercungap-cungap.
Habib menghabiskan malam itu menjaga Syihan, yang demam dan cedera. Api dendam telah dipadamkan oleh air sungai yang dingin.
Apabila Syihan sedar, dia merenung Habib dengan pandangan kosong.
“Kau selamatkan aku? Kenapa Bib?”
Habib menggelengkan kepalanya.
“Aku tak tahu. Mungkin sebab… kita masih kawan. Dan mungkin juga err..Syihan, aku takut.”
“Takut apa?”
“Takut hilang segalanya. Termasuk kau. Kita dengki mendengki, sebelum pun kita mulakan. Kita biarkan dulang kayu cengal itu, sekadar alat, menjadi punca permusuhan. Kita berebut harta yang belum tentu ada.”
Syihan memandang dulangnya yang masih selamat di tebing, kini kotor dan berlumut. Dia teringat kata-kata Pak Leman-Hati yang tenang akan mengasingkan butir nikmat.’
“Aku minta maaf, Bib,” kata Syihan, suaranya lemah.
“Aku yang hasut kau. Aku yang berlagak tahu segalanya. Aku yang mula-mula cemburu bila dulang kau nampak lebih baru daripada aku.”
Habib tersenyum pahit.
“Tidak, Han. Aku pun sama. Aku sangka kau mencuri. Kita berdua lupa, mendulang emas bukan kerja mudah. Kita sangka kita boleh jadi kaya dalam sehari, tanpa usaha yang betul, tanpa permit yang betul. Kita tinggalkan keluarga, kita mengkhianati persahabatan, hanya kerana janji yang kosong.”
Mereka berehat selama dua hari di dalam hutan, makan bekalan yang ada, dan merawat luka masing-masing. Mereka langsung tidak menyentuh dulang mereka lagi.
Pada hari ketiga, mereka berjalan pulang ke kampung, bahu-membahu. Mereka membawa kedua-dua dulang kayu itu. Di dalam salah satu dulang, hanya ada satu butir kecil pasir yang berkilauan. Bukan emas. Hanya butir kuarza.
Mereka kembali ke kampung, bukan dengan tangan kosong, tetapi dengan hati yang baru.
Kembali ke Kampung Kalai, Habib dan Syihan memulakan kehidupan yang lebih sederhana, tetapi lebih bermakna. Mereka bekerja bersama-sama, menolong orang kampung membaiki rumah, dan menggunakan kekuatan dan kepintaran yang mereka ada.
Habib berani berterus terang tentang kesilapan mereka kepada Pak Leman.
Pak Leman tersenyum.
“Aku tahu. Kalian terlalu ghairah. Kalian lihat dulang itu sebagai jalan pintas. Sebenarnya, dulang itu adalah ujian. Ujian kesabaran, ujian kerajinan, dan ujian hati.”
“Apa yang kami patut lakukan sekarang, Pak Leman?” Tanya Syihan.
“Sekarang, kamu berdua sudah belajar. Mendulang adalah metafora kehidupan,” jawab Pak Leman, sambil memegang salah satu dulang itu.
“Kau masukkan pasir yang banyak, tapi kau hanya perlukan sedikit butir emas yang halus. Kau kena asingkan yang tidak perlu. Dalam kehidupan, kau kena asingkan dengki, tamak, dan keangkuhan. Hanya yang baik, yang sabar, akan tinggal.”
Habib dan Syihan memandang dulang itu. Mereka kini faham. Kekayaan sebenar bukan pada emas yang didulang, tetapi pada usaha jujur dan persahabatan yang kukuh yang telah mereka pulihkan. Mereka akhirnya mendapat ‘kelulusan’ yang paling penting – kelulusan dari hati nurani mereka sendiri.
Mereka menyimpan dulang itu di rumah masing-masing, bukan sebagai simbol kekayaan yang diimpikan, tetapi sebagai peringatan tentang bahaya kerakusan dan sifat dengki.
Dulang itu kini menjadi alat untuk mengukur kematangan diri mereka.
Mendulang emas bukan kerja mudah. Mendulang sifat dengki dari hati adalah lebih sukar, tetapi hasilnya lebih bernilai daripada jutaan butir emas. –UTUSAN










