Duit cukup makan untuk ke umrah, Ezaidi Aziz tidak sangka rezeki mencurah - Utusan Malaysia

Duit cukup makan untuk ke umrah, Ezaidi Aziz tidak sangka rezeki mencurah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pelakon, Ezaidi Aziz, tidak dapat melupakan detik bermakna dalam hidupnya apabila pintu rezeki terbuka luas selepas membuat keputusan mengerjakan ibadah umrah buat kali pertama pada 2021.

Menurut Ezaidi, 30, ketika itu dia hanya berbekalkan wang simpanan yang cukup-cukup untuk menampung kos perjalanan, namun tekad untuk menjadi tetamu Allah mengatasi segala kerisauan.

“Ada satu ketika itu saya memang ada simpanan, tetapi bila ditanya mahu ke umrah atau tidak, saya beritahu ustaz duit yang ada cuma ‘ngam-ngam’ sahaja.

“Namun kata-kata Ustaz Zahid dan Ustaz Zul benar-benar menyentuh hati saya. Mereka cakap, Allah sudah berjanji, jika kita ke sana, rezeki tidak akan berkurang sedikit pun,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kata pelakon itu, hanya tiga hari selepas membuat keputusan untuk menunaikan umrah, dia menerima tawaran kerja daripada Qatar Airways yang langsung tidak disangka.

“Jumlah bayaran yang saya terima untuk tugasan itu tepat sama nilainya dengan harga pakej umrah saya. Demi Allah, memang secara tiba-tiba saya dipanggil terbang ke Doha untuk penggambaran yang hanya mengambil masa dua jam,” ujarnya.

Tambah Ezaidi, keajaiban rezeki itu tidak terhenti di situ apabila dia kemudiannya ditawarkan watak utama dalam sebuah drama yang menjalani penggambaran di Mekah dan Madinah.

Ujarnya, peluang tersebut disifatkan sebagai bonus luar biasa hasil doa yang dipanjatkan ketika kunjungan pertamanya ke Tanah Suci.

“Semasa umrah pertama itu, saya selitkan doa supaya diberikan kerja. Tidak lama selepas itu, saya dapat tawaran drama sebagai teraju utama.

“Penggambaran pula dibuat di Makkah dan Madinah. Bagi saya, itu momen paling seronok dan tidak dapat dilupakan,” katanya.

Berkongsi mengenai penghijrahan dirinya ke arah kehidupan yang lebih baik, Ezaidi mengakui mula mendekati aktiviti keagamaan selepas diajak oleh rakan artis, Harris Annuar, untuk menyertai jemaah Tabligh.

Walaupun menyedari masih terdapat segelintir pihak yang memandang serong terhadap kumpulan tersebut, Ezaidi menyifatkan pengalaman ‘keluar tiga hari’ banyak mengajarnya tentang erti kehidupan, keinsafan serta disiplin diri yang masih diamalkan sehingga kini. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN