BUTTERWORTH : Dua rakan mengaku tidak bersalah ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan rompakan bersenjata terhadap seorang lelaki warga asing kira-kira dua minggu yang lalu.
Tertuduh, Azli Ismadi Mat Saad, 32, dan P. Sanjay Kumar, 38, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Roslan Hamid.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa bersama-sama empat individu yang masih bebas melakukan rompakan berkumpulan dengan bersenjatakan pisau terhadap seorang lelaki etnik Rohingya dan melarikan seutas rantai emas, sebuah telefon bimbit serta wang tunai RM3,000 milik mangsa di sebuah rumah di Ladang Chip Joo, Bukit Mertajam, kira-kira pukul 10.30 pagi, 13 Januari lalu.
Atas kesalahan itu, kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan manakala Seksyen 397 boleh dikenakan sebatan selain apa-apa hukuman yang boleh dikenakan mengikut mana-mana seksyen lain kanun ini.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nadhirah Abdul Rahim manakala kedua-dua tertuduh pula tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin dan kes akan disebut semula pada 26 Februari nanti.
Semalam, polis mendakwa berjaya menumpaskan satu kumpulan samun yang menyamar sebagai pegawai imigresen dalam kejadian rompakan yang berlaku di Bukit Mertajam dekat sini, dua minggu yang lalu susulan tertangkapnya dua daripada enam suspek di dua lokasi berasingan pada 18 Januari lepas.
Susulan tangkapan itu juga, polit turut merampas sebuah kenderaan jenis Proton X70 berwarna putih yang dipercayai digunakan ketika kejadian, beberapa buah telefon bimbit, pakaian serta aksesori yang mempunyai kaitan dengan kes tersebut.










