KUALA TERENGGANU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu menahan reman dua penjawat awam bagi membantu siasatan kes tuntutan palsu berkaitan pembekalan makanan sekolah di daerah Kemaman, dekat sini.
Majistret Marsha Abdul Malik membenarkan kedua-dua suspek ditahan reman enam hari sehingga 25 Januari ini selepas permohonan dibuat oleh SPRM di Mahkamah Majistret Kemaman, hari ini.
Menurut sumber, kedua-dua suspek yang terdiri daripada seorang lelaki dan wanita berusia lingkungan lewat 40-an ditahan kira-kira pukul 3 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Kemaman.
Siasatan awal mendapati, kedua-dua suspek disyaki terlibat dalam pemalsuan tuntutan bernilai kira-kira RM23,000 membabitkan perolehan pembekalan makanan di sebuah sekolah di Kemaman bagi tempoh 2023 hingga 2024, sedangkan tiada bekalan sebenar dilaksanakan seperti yang dituntut.
Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd. Yazid ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Beliau tidak menolak kemungkinan tangkapan susulan dibuat. – UTUSAN










