Dua individu dikenal pasti palsukan dokumen tujuh pemain warisan ke FIFA

Dua individu dikenal pasti palsukan dokumen tujuh pemain warisan ke FIFA

terkini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenal pasti penglibatan dua individu yang dipercayai terlibat dalam pemalsuan dokumen dikemukakan kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) didakwa membabitkan tujuh pemain warisan skuad kebangsaan Harimau Malaya.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, usaha mengesahkan identiti sebenar serta mengesan kedua-dua individu berkenaan kini sedang giat dijalankan.

Katanya, siasatan awal mendapati taraf kewarganegaraan melalui penaturalisasian kepada tujuh pemain warisan tersebut dibuat melalui proses yang teratur dan mengikut semua prosedur yang ditetapkan oleh undang-undang sedia ada.

“Siasatan seterusnya menjurus kepada elemen penipuan dan pemalsuan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan semasa proses pendaftaran serta pengemukaan dokumen pemain-pemain terlibat kepada FIFA.

“Bagaimanapun, kita ada mengenal pasti penglibatan dua individu yang dipercayai terlibat dalam pemalsuan dokumen yang dikemukakan kepada FIFA semasa proses pendaftaran pemain-pemain warisan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, setakat ini polis menerima 45 laporan polis berkaitan isu terbabit termasuk satu yang dibuat oleh FAM.

“Kita juga telah merakam percakapan seramai 43 orang saksi melibatkan FAM, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta saksi awam bagi melengkapkan siasatan,” katanya.

Beliau menegaskan, PDRM menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi dan memberi jaminan bahawa pihak polis komited memastikan ketelusan serta integriti siasatan sentiasa diutamakan.

“Ini bagi menjamin keadilan tanpa melindungi mana-mana pihak,” katanya.

Pada 26 September lalu, FIFA dalam kenyataan rasmi, mengesahkan badan induk negara, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC).

FIFA mendapati FAM menyerahkan dokumen yang dipercayai dipalsukan untuk mengesahkan kelayakan kesemua pemain itu.

FAM didenda kira-kira CHF350,000 (RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda kira-kira RM11,000 dan tujuh pemain itu digantung daripada sebarang aktiviti berkaitan bola sepak selama 12 bulan.

Pada 3 November, Jawatankuasa Rayuan FIFA menolak rayuan FAM dan kesemua pemain terlibat, sekali gus mengekalkan keputusan Jawatankuasa Tatatertib terdahulu.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN