PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad belum dibenarkan pulang dan masih menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) ekoran kecederaan tulang pinggulnya yang patah.
Setiausaha Akhbarnya, Sufi Yusoff berkata beliau hanya keluar bagi menikmati kopi di sebuah kafe yang terletak dalam pusat beli-belah Pavilion, Bukit Damansara semalam
Menurutnya, Dr Mahathir akan meneruskan rawatan di IJN sehingga keadaannya benar-benar pulih.
“Tun Dr Mahathir memilih untuk menikmati segelas ‘ice chocolate’ bagi ‘outing’ pertamanya sejak dimasukkan ke IJN.
“Beliau kemudian dibawa semula ke IJN. Beliau masih belum dibenarkan pulang ke rumah dan akan terus menerima rawatan di IJN,” katanya melalui kenyataan media di sini semalam.
Beliau mengulas laporan berita sebelum itu yang memaparkan Dr Mahathir muncul selepas 22 hari menerima rawatan di IJN.
Beliau mula dimasukkan ke IJN pada 6 Januari lalu bagi rawatan dan pemulihan selepas terjatuh di kediamannya di The Mines, yang mengakibatkan tulang pinggul kanan beliau patah.
Dalam pada itu, Sufi berkata, bekas Ahli Parlimen Langkawi itu dibawa ke kafe terbabit oleh pegawai perubatan IJN dengan ditemani isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.
“Dr Mahathir turut ditemani Ketua Pegawai Eksekutif IJN, Prof Datuk Seri Dr Mohamed Ezani Md Taib, serta pegawai perubatan.
“Beliau menghabiskan masa selama 40 minit sebelum dibawa semula ke IJN.Setakat ini lawatan masih terhad kepada keluarga terdekat,” jelasnya. – UTUSAN










