PETALING JAYA: DKSH Malaysia menjalin kerjasama strategik dengan Medisana Malaysia Sdn. Bhd. (medisana) bagi memperluas akses kepada peranti pemantauan penjagaan kesihatan di rumah menerusi saluran farmasi di Malaysia dan Brunei.
Kerjasama itu membolehkan DKSH menyediakan perkhidmatan komersial dan logistik menyeluruh untuk portfolio peranti perubatan medisana, sekali gus memperkukuh kehadiran jenama global tersebut dalam saluran farmasi runcit dan institusi dan menyokong pengembangannya yang berterusan di rantau Asia.
Pengarah Urusan medisana, Michael Gao Feng berkata, kerjasama tersebut merupakan langkah strategik bagi memperkukuh kehadiran syarikat itu di Malaysia dan Brunei.
“Keupayaan pengedaran DKSH yang kukuh, pemahaman mendalam terhadap landskap farmasi serta kepakaran dalam penjagaan kesihatan menjadikan mereka rakan kongsi yang ideal untuk menyokong misi kami dalam menjadikan penyelesaian penjagaan kesihatan di rumah yang dipercayai lebih mudah diakses oleh individu dan keluarga,” katanya dalam kenyataan.
Unit Perniagaan Kesihatan DKSH Malaysia akan menyediakan perkhidmatan pengembangan pasaran sepenuhnya meliputi jualan, pengurusan paparan produk, pengedaran serta logistik di semua saluran farmasi di Malaysia dan Brunei.
Dengan memanfaatkan rangkaian pengedaran DKSH yang luas serta kepakaran mendalam dalam sektor penjagaan kesihatan, kerjasama itu dijangka mempercepat pertumbuhan medisana dalam segmen peranti perubatan, khususnya bagi penyelesaian pemantauan kesihatan di rumah.
Portfolio produk yang terlibat merangkumi peranti seperti monitor tekanan darah, termometer, inhaler, mesin rangsangan saraf elektrik transkutan (TENS), oximeter nadi, meter glukosa darah serta jalur ujian glukosa darah.
Sementara itu, Naib Presiden Healthcare dan Ketua Kepimpinan Negara DKSH Malaysia, Sandeep Tewari berkata, penggabungan penyelesaian peranti perubatan medisana dengan capaian komersial DKSH yang luas akan membantu memperluas akses kepada peranti pemantauan kesihatan berkualiti tinggi.
“Kerjasama ini bukan sahaja memacu pertumbuhan mampan di Malaysia dan Brunei, malah turut menyokong usaha memperkayakan kehidupan masyarakat melalui penyediaan penjagaan kesihatan yang lebih mudah diakses,” katanya.
Ditubuhkan pada 1982, medisana merupakan antara peneraju penjagaan kesihatan di rumah di Jerman dan komited menyediakan penyelesaian kesihatan serta kesejahteraan yang berkualiti tinggi dan mesra pengguna.
Sejak 2018, jenama itu secara konsisten menerima Anugerah Jenama Jerman dalam kategori Kesihatan dan Farmaseutikal, mencerminkan kekuatan kepimpinan jenama serta inovasinya dalam pembangunan produk penjagaan kesihatan berorientasikan masa depan. –UTUSAN










