MELAKA: Tindakan seorang pemuda memeriksa bau busuk yang disangkanya bangkai kucing membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki dalam sebuah kereta di parkir Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini, tengah hari tadi.
Kejadian itu disedari Khairul Ikhwan Abdol Sham, 24, kira-kira pukul 1.30 tengah hari ketika selesai menjamu selera di sebuah restoran berhampiran.
Katanya, dia terhidu bau yang kuat semasa menghampiri sebuah kereta Nissan Almera yang diparkir dalam keadaan mencurigakan.
“Pada awalnya saya menyangka bau itu bangkai kucing, tetapi apabila menghampiri dan menjenguk ke dalam kenderaan tersebut, saya dapati tayarnya sudah pancit dan enjin tidak dihidupkan.
“Sebaik sahaja mahu meninggalkan nota bagi memaklumkan kepada pemilik kenderaan mengenai keadaan tayar yang pancit, saya melihat mayat dalam keadaan terlungkup di tempat duduk pemandu dalam keadaan kulit sudah gelap,” katanya ketika ditemui.
Khairul Ikhwan berkata, dia turut melihat beberapa keping gambar seorang lelaki bersama wanita dalam kenderaan itu, namun tidak dapat memastikan sama ada salah seorang daripadanya ialah si mati.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, pemeriksaan mendapati seorang lelaki tempatan berusia 34 tahun ditemui meninggal dunia di tempat duduk pemandu dalam keadaan mayat mereput, selain penemuan sebuah bekas kaca yang mengandungi kesan pembakaran arang dalam kenderaan terlibat.
“Setakat ini, siasatan awal tidak menemui sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR),” katanya.-UTUSAN










