IPOH: Tular di media sosial dua rakaman video memaparkan detik cemas sekumpulan individu terserempak dengan seekor harimau belang di sebuah kebun durian di Bukit Kinding, Chemor di sini, Ahad lalu.
Difahamkan, video berdurasi lebih satu minit itu dirakam sekitar pukul 10.30 pagi ketika sepasukan anggota Unit Konservasi Harimau Malaya (UKHM) Perak menjalankan pemantauan aduan mengenai kehadiran haiwan pemangsa di lokasi berkenaan.
Menerusi rakaman tersebut, kedengaran suara anggota memberi arahan agar semua berundur sambil cuba menakutkan haiwan berkenaan.
Bagaimanapun, usaha itu tidak berjaya apabila harimau belang tersebut dilihat semakin mara sebelum kedengaran arahan tegas untuk semua pihak termasuk penunggang motosikal segera masuk ke dalam kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang berada berhampiran.
Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu dan kesemua pihak berjaya keluar dari lokasi dengan selamat.
Rakaman tular itu mendapat reaksi positif netizen yang memuji ketenangan dan tindakan pantas pasukan UKHM dalam mengendalikan situasi berisiko tinggi melibatkan haiwan liar.
Difahamkan, harimau belang yang dirakam dalam video tular itu adalah haiwan sama yang berjaya masuk ke dalam perangkap dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) di kawasan Bukit Kinding.
Pada 11 Januari lalu, seekor harimau belang jantan dianggarkan seberat 75 kilogram masuk perangkap yang dipasang Perhilitan Perak di Bukit Kinding.
Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff berkata, haiwan pemangsa itu memasuki perangkap pada pukul 1 petang selepas perangkap berkenaan dipasang pada pukul 10 pagi. – UTUSAN










