KUALA LUMPUR: Tiada keperluan buat kerajaan untuk meminda undang-undang dan Perlembagaan bagi menggubal sebarang dasar negara termasuk mengekalkan pendirian Malaysia sebagai negara berkecuali.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu selagi dasar yang digubal tidak bercanggah dengan Perlembagaan dan semangat Perlembagaan.
Katanya, perkara itu telah dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara (AGC), dasar-dasar yang dirangka selain mengambil kira semua perjanjian terdahulu yang pernah dimeterai oleh Malaysia.
“Sebarang penggubalan dasar negara, termasuk dasar luar, tidak memerlukan pindaan Perlembagaan sekiranya ia selari dengan kerangka perlembagaan sedia ada,” katanya ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) yang ingin mengetahui sama ada wujud keperluan untuk meminda undang-undang sedia ada bagi memastikan Malaysia terus mengekalkan pendirian berkecuali dalam suasana geopolitik global yang semakin mencabar.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, Malaysia kekal berpegang kepada prinsip sebagai sebuah negara berkecuali dengan mengekalkan hubungan persahabatan sedia ada khususnya dengan negara-negara jiran.
Katanya, dalam konteks Malaysia, hubungan tersebut melibatkan negara ASEAN selain komitmen yang kukuh terhadap Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) serta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Cabaran utama ketika ini adalah untuk mengekalkan prinsip berkecuali dalam keadaan geopolitik global yang tidak menentu justeru Malaysia bersetuju untuk terlibat dalam rangka kerjasama BRICS walaupun langkah tersebut tidak disenangi oleh sesetengah pihak.
“Pada masa sama, kita kekal dengan hubungan bersama negara-negara Eropah dan Amerika Syarikat (AS), selain mempunyai hubungan yang agak rapat dengan China. Pada bulan hadapan pula, Perdana Menteri India dijadualkan berkunjung ke Malaysia,” katanya.
Tambah Anwar, pendekatan tersebut mencerminkan keperluan dasar luar Malaysia yang berteraskan keadilan dan kemanusiaan termasuk pendirian tegas negara dalam isu Gaza walaupun ia tidak disenangi oleh beberapa negara Barat termasuk AS dan negara-negara Eropah. – UTUSAN











