Dakwa dipecat tidak ikut perlembagaan parti, enam bekas Ketua Bahagian Bersatu serah aduan ROS

Dakwa dipecat tidak ikut perlembagaan parti, enam bekas Ketua Bahagian Bersatu serah aduan ROS

MOHD Faizal Asmar (kiri) bersama Mohd Shukor serta Datuk Suhaimi Mohd Ghazali (Sepang) dan Mohd Isa Mohd Saidi (Ampang) hadir menyerahkan surat aduan kepada ROS di Putrajaya. - UTUSAN/KAMARIAH KHALIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Dipecat daripada ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) serta-merta tanpa sebarang perbincangan atau proses pembelaan sewajarnya, selain kesalahan yang dinyatakan dalam surat pemecatan terlalu umum dan tidak diperincikan secara spesifik.

Itu dakwaan salah seorang daripada enam bekas Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang hadir ke  ke Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) di sini hari ini bagi menyerahkan surat bantahan dan aduan, meminta satu siasatan dilakukan terhadap prosedur pemecatan yang didakwa tidak mengikut perlembagaan parti.

Bekas Ketua Bahagian Bersatu Puchong, Mohd Shukor Mustafa berkata, mereka tidak mempertikaikan keputusan pemecatan, namun mempersoalkan kaedah dan proses yang dilaksanakan oleh kepimpinan parti, khususnya berkaitan hak rayuan yang didakwa telah dinafikan.

Menurutnya, berdasarkan perlembagaan parti, ahli yang dikenakan tindakan disiplin sepatutnya diberikan ruang untuk merayu kepada Lembaga Rayuan sebelum sesuatu keputusan muktamad dibuat.

“Dalam surat pemecatan yang kami terima, dinyatakan kami boleh membuat rayuan dalam tempoh 14 hari. Namun pada masa sama, nama kami terus dikeluarkan daripada senarai keahlian parti, seolah-olah kami sudah bukan lagi ahli.

“Keadaan ini menimbulkan persoalan kerana sekiranya masih dalam tempoh rayuan, kami sepatutnya kekal sebagai ahli dan berhak menggunakan saluran rayuan yang disediakan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan surat aduan tersebut di sini hari ini.

Selain Mohd Shukor, surat aduan yang diserahkan kepada ROS itu turut melibatkan bekas ketua bahagian lain iaitu Mohd Faizal Asmar (Pengerang), Datuk Suhaimi Mohd Ghazali (Sepang), Mohd Isa Mohd Saidi (Ampang) serta dua lagi yang tidak hadir iaitu Mohd Azrudin Md Idris (Hang Tuah Jaya) dan Mohd Fadhli Ismail (Ipoh Timur).

Beliau turut mendakwa, kebanyakan mereka yang dipecat merupakan bekas ketua bahagian dan tindakan tersebut disifatkan tidak setimpal dengan kesalahan yang didakwa, sekali gus memberi gambaran seolah-olah wujud perancangan atau unsur dendam untuk menyingkirkan mereka daripada parti.

“Kami dimaklumkan kesalahan mengikut fasal tertentu dalam perlembagaan parti, namun tidak dijelaskan secara terperinci apakah kesalahan sebenar yang dilakukan. Ini menyukarkan kami untuk mempertahankan diri atau membuat rayuan dengan adil,” katanya.

Pada 14 Oktober tahun lalu, media melaporkan Lembaga Disiplin Bersatu memecat keahlian Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan serta menggantung keahlian Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fhysal Wan Ahmad Kamal selama satu penggal.

Ia dikatakan berhubung isu akuan bersumpah (SD) yang dikaitkan dengan usaha mendesak pengunduran presiden parti itu sebelum ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN