‘Coach cerai’ boleh dipenjara - Mufti

‘Coach cerai’ boleh dipenjara – Mufti

MOHD. SUKKI OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Individu yang didapati memberi nasihat agama tanpa tauliah, mengelirukan hukum syarak serta mengganggu proses kehakiman syariah boleh dihukum penjara dan denda, mengikut enakmen kesalahan jenayah syariah negeri masing-masing.

Selain itu, individu yang menggunakan khidmat penasihat perceraian atau ‘coach cerai’ juga boleh dikenakan tindakan.

Mufti Pulau Pinang, Prof. Madya Datuk Dr. Mohd. Sukki Othman berkata, penggunaan orang tengah dalam urusan rumah tangga dikhuatiri mendorong pasangan kepada perceraian secara mudah, tanpa melalui proses bimbingan dan pemulihan sewajarnya.

“Mereka boleh diambil tindakan di bawah enakmen ke­salahan jenayah syariah negeri-negeri.

“Pasangan terlibat atau ahli keluarga boleh membuat aduan atau laporan terus kepada jabatan agama Islam negeri.

“Aduan juga boleh dibuat kepada Mahkamah Syariah jika melibatkan hasutan, penipuan atau nasihat palsu berkaitan hukum,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan mengingatkan masyarakat Islam merujuk kepada institusi berautoriti seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan jabatan agama Islam negeri bagi sebarang permasalahan rumah tangga.

Mohd. Sukki berkata, penasihat persendirian tidak sepatutnya dijadikan orang tengah dalam menyelesaikan isu rumah tangga, sebaliknya perlu melalui pihak pendamai yang berautoriti.

Jelasnya, ia dilihat mengabaikan maqasid syariah atau hukum syariah kerana berisiko melemahkan institusi keluarga.

“Usaha menyelamatkan perkahwinan seharusnya perlu melalui pihak pendamai yang berautoriti dan bukan pihak luar yang tidak terikat dengan disip­lin ilmu, etika dan tanggungjawab syarie.

“Kebimbangan timbul apabila nasihat berkaitan rumah tangga diberikan oleh individu tanpa latar belakang ilmu agama, psikologi, kaunseling atau kelayakan sah.

“Penggunaan coach cerai boleh merosakkan institusi kekeluargaan kerana bersifat sebelah pihak, selain mengabaikan memelihara keluarga, nasab dan kestabilan sosial,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN