KUALA LUMPUR: Construction Labour Exchange Centre Berhad (CLAB) menyasarkan 500,000 pekerja binaan asing diiktiraf Sijil Kompetensi Kemahiran Pekerja (SKKP) dalam tiga tahun, selari dengan mandat yang diberikan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) di bawah seliaan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).
Ketua Pegawai Eksekutif CLAB, Datuk Abdul Rafik Abdul Rajis berkata, sehingga kini, seramai 10,000 pekerja binaan asing telah berjaya diakreditasi dalam tempoh empat bulan pertama pelaksanaan pada 2025, termasuk 2,000 orang pada Januari ini sahaja.
Ujarnya, ini sekali gus membuktikan keupayaan sistem sedia ada untuk menyokong sasaran baharu tersebut.
“Peningkatan sasaran ini bertujuan mempercepatkan proses pensijilan kemahiran bagi mengelakkan isu projek sakit dan rumah terbengkalai akibat kekurangan tenaga kerja berkemahiran,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut beliau, akreditasi akan dilaksanakan secara berfasa bagi 25 bidang kemahiran (trade), sebagaimana yang ditentukan oleh CIDB Malaysia dan disenaraikan dalam Jadual Ketiga, Akta CIDB 520.
Jelasnya, bidang kemahiran utama yang diakreditasi melalui CLAB adalah pelepa, kerja konkrit, pertukangan kayu (formwork), penerapan bata, pembengkok bar dan pertukangan kayu (tanggam).
“Pekerja boleh mencapai Tahap Kemahiran 1 dalam tempoh tiga bulan, dengan penilaian praktikal tidak melebihi empat jam dan kadar kegagalan dianggarkan kurang daripada satu peratus,” katanya.
CLAB sebagai agensi pelaksana telah mengenal pasti kontraktor yang menggaji pekerja asing, mengurus jadual penilaian serta menyelaras pangkalan data bersama CIDB dan setakat ini, lebih 12,000 kontraktor telah direkodkan.
Akreditasi ini melayakkan syarikat kontraktor untuk mendapatkan mata CCD CIDB bagi pembaharuan lesen kontraktor dan memberi kelebihan kepada kontraktor berakreditasi dalam semua pelaksanaan projek, termasuk projek perumahan di bawah seliaan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan(KPKT).
Antara pemaju yang menyokong inisiatif ini adalah S P Setia dan Sime Darby Property Sdn. Bhd.
Abdul Rafik berkata, caj akreditasi ditetapkan sebanyak RM600 seorang, merangkumi pengeluaran Sijil Kompetensi Kemahiran Pekerja (SKKP).
“Penilaian dijalankan di enam Akademi Binaan Malaysia atau terus di tapak projek di seluruh Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
“Peningkatan sasaran kepada 500,000 pekerja diakreditasi adalah langkah strategik bagi memastikan kemampanan projek pembinaan negara dan meningkatkan profesionalisme tenaga kerja asing dalam industri,” katanya. – UTUSAN










