SERAMAI 140 orang murid baharu, iaitu Tahun Satu disambut oleh kalangan guru, Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) serta maskot bernama ‘Chacha’ di Sekolah Kebangsaan Jerantut Jaya (SKJJ) bandar Jerantut, Pahang baru-baru ini.
Bercakap kepada Utusan Pelajar, Guru Besar SKJJ, Jamalludin Baharun berkata, sambutan di bawah Program Selamat Kembali Semula Ke
Sekolah bermula kira-kira pukul 7 pagi di tapak perhimpunan turut dihadiri oleh wakil Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Jerantut, Rozila Ab. Razak, Pegawai Perhubungan Sekolah, Mohamad Faizal Mohamad Peral dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG), Mohd. Pisol Abu Talib.
“Penampilan maskot Chacha merupakan tajaan Syarikat Ai-Cha Jerantut sebuah premis minuman yang disumbangkan oleh Pengurusnya,
Terrence Liew semata-mata untuk menarik minat serta meraikan murid Tahun Satu ke sekolah.
“Nampaknya, program ini berjaya menceriakan murid Tahun Satu untuk memulakan sesi suai kenal dan pembelajaran sambil diiringi oleh guru masing-masing masuk ke kelas,” katanya di SKJJ bandar Jerantut baru-baru ini.
Jamalludin yang juga Pengerusi Majlis Guru Besar Sekolah Rendah Jerantut berkata, wakil PPD juga menyampaikan nasihat kepada semua pelajar sekolah itu, manakala kehadiran ibu bapa turut mewarnai kemeriahan sambutan murid Tahun Satu yang kelihatan mula bersemangat untuk belajar bersama rakan.-UTUSAN










