Caj dikenakan setimpal dengan usaha dan hasil kerja - Amylea Azizan - Utusan Malaysia

Caj dikenakan setimpal dengan usaha dan hasil kerja – Amylea Azizan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERKONGSIAN komposer dan penyanyi rap, Lukmanul Hakim atau Kmy Kmo dalam platform Threads berkenaan kadar bayaran minimum RM18,000 untuk perkhidmatan menerbit, menggubah, mengadun dan pemaduan (mastering) lagu serta penghasilan lirik adalah wajar.

Hal itu kerana masih ramai yang gagal memahami perkara tersebut, sekaligus secara membuta tuli mempersoalkan dan mempertikaikan kadar bayaran tinggi diletakkan untuk perkhidmatan berkenaan.

Diminta berkongsi pandangan mengenai isu yang sama, penyanyi dan pencipta lagu berbakat besar, Amylea Azizan tidak menolak bahawa tahap kefahaman yang rendah membuatkan masih ramai yang menyangka proses penghasilan sesebuah lagu, mudah dan murah.

“Dalam apa bidang sekalipun, kadar bayaran untuk perkhidmatan adalah berbeza mengikut kualiti kerja dan pengalaman. Formula yang sama terpakai dalam bidang penghasilan lagu.

“Perlu difahamkan, jumlah caj yang diletakkan bagi perkhidmatan disesuaikan mengikut produktiviti, pengalaman serta usaha yang dicurahkan. 

“Sebagai pencipta lagu, saya bekerja keras dalam memberikan kualiti kerja terbaik yang setimpal dengan caj perkhidmatan yang saya kenakan.

“Jadi saya faham jika ada pencipta lagu yang mengeluh apabila kadar bayaran yang mereka letakkan dipertikaikan, sedangkan mereka juga bekerja keras untuk memberikan hasil yang terbaik,” katanya yang ditemui pada majlis Vicenary Intimate Live Session With Amylea Azizan, baru-baru ini.

Kongsi Amylea, proses penghasilan lagu bukan perkara enteng seperti disangka ramai pihak. Seperti juga bidang nyanyian yang kelihatan mudah namun hakikatnya mencabar dan melalui banyak proses.

“Seni penghasilan lagu besar nilainya. Ia memerlukan daya kreativiti dan kebijaksanaan tinggi. Ia satu kelebihan yang Allah anugerahkan.

“Tapi kefahaman orang berbeza-beza mengenai perkara ini. Ada yang tak akan faham kerana mereka tidak bekerja dalam industri ini. 

“Jadi tiada manfaatnya kita bersusah payah menjelaskan kepada pihak yang tak akan faham dengan bidang tugas kita,” ujarnya.

Amylea dalam masa yang sama bersyukur kerana setakat ini kebanyakan yang berurusan dengannya adalah dalam kalangan mereka yang memahami selok belok dunia penghasilan lagu justeru sedia melaburkan peruntukan setimpal untuk mendapatkan karya yang bagus dan berkualiti.

“Alhamdulillah, setakat ini saya tidak berdepan dengan pihak yang mempertikaikan caj yang saya kenakan. 

“Jika ada yang mempersoalkan, saya akan tolak tawaran mereka dengan cara baik dan anggap sahaja tak ada peluang untuk bekerjasama. 

“Dan kalu pun ada pihak merasakan caj perkhidmatan saya tinggi, mungkin mereka boleh cuba dapatkan komposer atau pencipta lagu lain yang bersesuaian.

“Mungkin ada pencipta lagu yang boleh terima caj rendah setimpal pengalaman dan tahap kemahiran mereka. Perkara ini subjektif dan tidak perlu kita pertikaikan,” kongsinya lagi.

 

SHOWCASE

Selain mengenai isu bayaran, perbualan bersama Amylea juga berkisar tentang perancangannya bagi tahun ini. Menurut penyanyi yang berasal dari Alor Setar, Kedah ini, antara hal yang dinantikan adalah menganjurkan showcase untuk peminat selain menerbitkan album baharu.

“Peminat bertanya mengenai showcase. Tentu sekali saya berkeinginan untuk mengadakannya.

“Tapi sebelum merancang ke arah itu, saya terlebih dahulu harus memulakan sesuatu. Maka terhasillah idea untuk mengadakan sesi bersama peminat untuk memperkenalkan dua lagu baharu iaitu Binasa dan Gena Sara.

“Ini juga menjadi acara untuk saya war-warkan tentang showcase itu nanti. Perancangan ada, cuma tarikhnya belum lagi ditetapkan.

“Tumpuan saya buat masa ini adalah untuk mempromosikan dua lagu baharu sebelum beberapa buah lagu lain yang akan saya terbitkan juga pada tahun ini. Kesemua lagu ini nanti akan saya muatkan dalam sebuah album EP yang akan insya-Allah dipasarkan tahun ini,” katanya lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN