Sultan Ibrahim titah buru perasuah

Sultan Ibrahim titah buru perasuah

SULTAN IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Semua pera­suah terutamanya dalam per­khid­matan awam hendaklah te­rus diburu dan dikenakan tindakan undang-undang.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim juga mahu kerajaan menyediakan hakim yang berpengalaman, selain laluan khas di mahkamah supaya perbicaraan kes rasuah dapat diselesaikan segera.

Sultan Ibrahim bertitah, rasuah merupakan musuh utama kepada pelbagai perkara termasuk hal-hal melibatkan pembangunan negara.

“Tahun ini merupakan permulaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang memberi penekanan kepada kesejahteraan rakyat, khususnya dalam bidang pendidikan, perumahan, kesihatan dan pengangkutan awam.

“Namun, suka saya ingatkan bahawa segala perancangan tidak akan sempurna sekiranya amalan rasuah masih berleluasa. Saya pernah menyebut sebelum ini bahawa saya datang ke Kuala Lumpur untuk memburu rasuah dan saya telah berjaya melaksanakannya,” titah Seri Paduka dalam Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen Ke-15 di Parlimen, semalam.

Sultan Ibrahim bertitah, ba­gin­da percaya kes rasuah dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hanyalah sebahagian daripada keseluruhan kes yang ada.

Baginda bertitah, ramai lagi perasuah di luar sana perlu diburu sama ada daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Imigresen (JIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) mahupun ahli-ahli Parlimen.

“Saya amat kecewa apabila berlakunya kes rasuah dalam ATM, sampai peringkat ter­tinggi. Agaknya selepas ini saya terpaksa lantik sarjan sebagai Panglima Angkatan Tentera (PAT).

“Ini hanyalah sekelumit da­ripada segunung atau tip of iceberg. Saya yakin ada ramai lagi di luar sana sama ada di JKDM, JIM, PDRM dan sebagainya serta termasuk juga yang berada dalam Dewan Rakyat ini akan diburu.

“Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mesti menjalankan siasatan dengan cepat, tegas dan sempurna tanpa mengira pangkat atau kedudukan,” titah Sultan Ibrahim.

Sultan Ibrahim turut bertitah agar undang-undang ke­selamatan negara diwujudkan bagi memastikan keharmonian antara kaum dan kedaulatan negara kekal terpelihara.

“Negara berhadapan dengan ancaman terhadap keselamatan digital, integriti maklumat serta penggunaan teknologi deepfake (palsu asli) yang berpotensi membuka ruang kepada kes penipuan dan menggugat kestabilan sosial.

“Selain itu, ancaman jena­yah berat, keganasan serta perbuatan yang menyentuh isu agama, kaum dan raja (3R) juga perlu ditangani secara berkesan dan tegas,” titah baginda.

Sultan Ibrahim mengingatkan ahli-ahli Parlimen supaya tidak menghasut sehingga boleh mewujudkan ketega­ngan antara wilayah.

Baginda bertitah, asas kepada pembentukan Malaysia adalah menerusi Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang menyatukan Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak sebagai sebuah negara.

Ahli Parlimen turut diberi peringatan bahawa setiap perbahasan, keputusan dan undian yang dibuat di Dewan Rak­yat dan Dewan Negara bukan hanya sebagai pendirian politik tetapi bakal menentukan masa depan rakyat dan negara.

“Oleh itu, laksanakan tugas ini dengan penuh amanah, bijaksana dan bertanggungjawab demi kepentingan seluruh rakyat,” titah baginda. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×