KLANG: Pendatang asing tanpa izin (PATI) terutama di Selangor dilihat semakin berani menyeberangi Laut Selat Melaka secara tidak sah untuk keluar atau masuk ke negara ini.
Walaupun tindakan penguatkuasaan ditingkatkan, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Selangor sudah pun menahan lebih 100 PATI sejak awal bulan ini.
Sindiket tersebut juga tidak lagi bergerak dalam kumpulan kecil, sebaliknya dikesan membawa PATI dalam jumlah yang lebih besar menaiki bot pada satu-satu masa.
Malah, warga tempatan dipercayai turut terlibat menggunakan khidmat sindiket tekong untuk pergi ke negara seberang melalui jalan yang tidak sah atas pelbagai alasan.
Pengarahnya, Kapten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, terdapat pelbagai faktor dikesan menyebabkan berlaku pergerakan PATI pada bulan ini antaranya musim perayaan seperti bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.
“Saya percaya, kalau yang hendak pulang ke negara asal, musim perayaan mungkin salah satu dan mereka pun tahu puasa bermula pada pertengahan Februari nanti. Jadi, ketika ini menjadi kesempatan mereka untuk balik awal.
“Sindiket itu pula diketahui dengan macam-macam cara, ada yang secara dalam talian dan sebagainya. Masudnya pilihan pun ada, mungkin banyak. Tetapi (dalam TikTok) saya nampah sudah berkurangan sebab banyak yang hendak scam (tipu) orang,” katanya ketika ditemui dalam sidang akhbar, semalam.
Terdahulu, beliau memaklumkan seramai 57 individu termasuk 55 PATI terdiri daripada 54 warga Indonesia, seorang warga Myanmar dan dua warga tempatan ditahan dalam dua operasi, semalam.
Menurutnya, tangkapan pertama pada pukul 12.30 tengah malam melibatkan 26 PATI termasuk kanak-kanak berusia lima tahun cuba memasuki ke negara ini menggunakan bot fiber dikesan pada kedudukan 1.5 batu nautika barat daya Bagan Nakhoda Omar, Sabak Bernam.
Satu setengah jam kemudian, Maritim Malaysia Selangor menahan sebuah bot pom-pom membawa 24 PATI warga Indonesia berumur 22 hingga 64 tahun serta seorang bayi berusia tiga bulan.
Mereka ditahan cuba meninggalkan negara ini pada kedudukan 2 batu nautika barat daya Bagan Nakhoda Omar.
“Kesemua yang ditahan gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah, termasuk tekong warga Myanmar.
“Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1953/63 kerana masuk dan keluar negara melalui laluan yang tidak diwartakan serta AKta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) kerana cubaan membawa masuk PATI,” ujarnya. – UTUSAN










