PETALING JAYA: Tidak mudah menerima berita pemergian sahabat terdekat, namun pelakon, Anne Abdullah reda dengan ketentuan Allah apabila rakan seperjuangannya, Nadia Kesuma, disahkan meninggal dunia akibat sakit jantung di Jeddah, Arab Saudi.
Menurut Anne, 54, sejak khabar kehilangan sahabatnya itu tersebar, beliau tidak dapat tidur malam sehingga dikejutkan dengan panggilan daripada suami Nadia, Dr. Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah, yang memaklumkan isterinya sudah meninggal dunia.
“Saya sempat terfikir untuk terbang ke Jeddah. Kalau boleh, saya ingin mengetahui sendiri kejadian sebenar sebelum arwah meninggal dunia,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Anne berkata, sepanjang mengenali arwah, Nadia tidak pernah menceritakan sejarah penyakit jantung dan sentiasa dianggap sebagai wanita yang mengamalkan gaya hidup sihat.
“Setahu saya, dia memang tiada sejarah sakit jantung. Dia seorang yang aktif dan menjaga pemakanan. Cuma kebelakangan ini dia ada memberitahu mudah terkejut,” ujarnya yang terakhir kali bertemu arwah pada hujung tahun lalu di Pulau Pinang.
Bagaimanapun, Anne berkata beliau sudah bersedia menghadapi segala kemungkinan asalkan khabar kehilangan sahabatnya itu dapat dirungkai.
“Sejak berita arwah hilang, pelbagai usaha dibuat untuk mengesan beliau. Saya juga sentiasa berdoa agar arwah ditemukan dalam keadaan baik, tidak kira masih hidup atau telah meninggal dunia. Syukur semuanya berjalan lancar,” jelasnya.
Terdahulu, Anne merupakan antara individu terawal yang memaklumkan kepada media mengenai kehilangan sahabatnya, Nadia Kesuma, di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Jeddah, beberapa hari lalu.
Sebelum ini, Kementerian Luar Negeri mengesahkan seorang warganegara Malaysia yang dilaporkan hilang di Jeddah, Arab Saudi, iaitu pelakon Nadia Kesuma, telah meninggal dunia. -UTUSAN










