Buat masa ini tiada istilah rujuk - Uqasha Senrose - Utusan Malaysia

Buat masa ini tiada istilah rujuk – Uqasha Senrose

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelakon, Uqasha Senrose mengakui hatinya masih belum terbuka untuk kembali rujuk bersama bekas suami, Kamal Adli buat masa ini, walaupun aktor itu ada menyuarakan hasrat berkenaan.

Uqasha atau Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 34, berkata, fokus utamanya kini adalah untuk meneruskan kehidupan baharu yang lebih baik bersama anak perempuan kesayangannya, Hawra Uqaira.

“Buat masa ini, memang tiada istilah mahu rujuk. Soal ke depan kita tidak tahu kerana masa depan pun tidak boleh dijangka.

“Apa yang boleh saya katakan sekarang, saya hanya mahu melangkah ke depan, terus ke hadapan dan ‘move on’,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, pada Isnin.

Walaupun menjadi pihak yang memfailkan perceraian pada Oktober tahun lalu, Uqasha mengakui dia tetap memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dan menerima fasa baharu dalam kehidupannya.

“Perasaan ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan kerana saya sendiri yang memfailkan permohonan.

“Cuma ini perkara baharu untuk saya dan untuk menghadam semuanya memang mengambil sedikit masa sebelum mampu bercakap dengan lebih tenang.

“Apa pun, doakan saya dan anak agar kami terus kuat untuk melangkah ke depan,” katanya.

Dalam pada itu, Uqasha turut menitipkan doa buat bekas suaminya agar Kamal dapat menjalani kehidupan yang lebih baik selepas berpisah.

“Kami pernah bergelar suami isteri dan kini sudah jatuh satu talak. Saya sendiri tidak tahu apa lagi yang perlu diperkatakan.

“Apa yang saya tahu, saya mahu melangkah ke depan untuk tahun 2026. Perkara itu sudah berlaku dan lafaz juga sudah dianggap selesai.

“Saya hanya mampu mendoakan agar dia menjadi insan yang lebih bertanggungjawab,” luahnya.

Bergelar ibu tunggal, Uqasha yakin mampu menggalas tanggungjawab membesarkan puterinya dengan baik pada masa hadapan.

“Saya berada dalam situasi serba salah sebenarnya. Jika bercakap, bimbang disalah tafsir. Jika berdiam diri, tetap juga disalah faham.

“Apa yang boleh saya katakan, sepanjang setahun ini saya bekerja dan dalam masa sama menjaga anak. Jadi, tiada masalah untuk saya.

“Cuma doakan saya terus kuat untuk melangkah ke depan,” tuturnya.

Terdahulu, Kamal melafazkan talak satu terhadap Uqasha di hadapan Hakim Syarie, Siti Noraini Mohd. Ali, kira-kira pukul 12.56 tengah hari, pada Isnin.

Untuk rekod, Kamal dan Uqasha mendirikan rumah tangga pada 5 November 2021 dan hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN