SETIU : Kebimbangan penduduk di Kampung Panchor Merah di sini, terlerai selepas seekor beruang matahari yang dikesan berkeliaran di kampung itu ditangkap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, hari ini.
Seorang penduduk, Adli Ab. Rahman, 66, berkata, haiwan itu memasuki perangkap yang dipasang Perhilitan pagi ini.
Katanya, beruang tersebut dikatakan sudah lama berkeliaran di sekeliling kampung namun sejak akhir tahun lalu ia mula mengganas sehingga menyebabkan kematian haiwan ternakan mereka termasuk ayam.
“Saya rasa lega dan boleh tidur dengan lena apabila beruang tersebut masuk perangkap Perhilitan, sebelum ini kita bimbang kerana haiwan itu bermain di sekeliling rumah.
“Tambahan petang semalam ada penduduk yang terserempak dengan haiwan tersebut sedang melintas jalan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Panchor Merah, hari ini.
Seorang lagi penduduk, Siti Hawa Hamid, 59, berkata, sebelum ini dia bimbang melihat kanak-kanak atau cucunya bermain di luar rumah dan takut menjadi mangsa serangan haiwan itu, tetapi rasa takut hilang sebaik sahaja beruang tersebut ditangkap Perhilitan. – UTUSAN










