Beri ruang ATM perbetul keadaan tanpa sebarang spekulasi, tekanan

Beri ruang ATM perbetul keadaan tanpa sebarang spekulasi, tekanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Panglima-Panglima memohon agar semua pihak memberi ruang yang sewajarnya kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk memperbetulkan keadaan melalui mekanisme dan proses yang telah ditetapkan, tanpa sebarang tekanan atau spekulasi yang boleh menjejaskan ketelusan usaha berkenaan.

Bahagian Risikan dan Komunikasi Strategik Pertahanan Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam satu kenyataan berkata, pihaknya sedang melaksanakan langkah rombak dan rawat serta penambahbaikan berkaitan tatakelola pengurusan dan pentadbiran secara teratur, berfakta serta berlandaskan peruntukan undang-undang sedia ada, selari dengan amanat yang disampaikan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin baru-baru ini.

Katanya, JPP secara kolektif menegaskan pendirian bahawa ATM memandang serius isu tatakelola dan penyalahgunaan kuasa yang berlaku sebelum ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

“JPP menyeru seluruh pegawai dan anggota ATM agar terus kekal bersatu, berdisiplin serta menaruh keyakinan terhadap proses penguatkuasaan dan kerangka undang-undang sedia ada.

“Sebarang penyaluran maklumat yang bersifat sensitif hendaklah dilaksanakan melalui saluran yang sah dan mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan.

“Sehubungan itu, JPP menegaskan bahawa ATM tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk ketidakpatuhan kepada undang-undang, peraturan atau nilai teras perkhidmatan, dan yakin bahawa setiap isu akan ditangani secara adil, telus dan profesional melalui mekanisme yang sewajarnya,” katanya hari ini.

Dalam pada itu, kenyataan itu berkata, ATM menghormati kebebasan orang awam untuk menyuarakan pandangan secara bertanggungjawab sebagai sebahagian daripada amalan demokrasi.

Namun katanya, penyebaran maklumat yang tidak sahih dan bersifat spekulatif pasti mengundang kekeliruan dan salah tafsir yang lebih membawa kemudaratan kepada imej ATM.

“Justeru, kepimpinan ATM memberikan sepenuh komitmen untuk bekerjasama dengan pihak berautoriti demi memastikan kebenaran ditegakkan serta keyakinan rakyat terhadap ATM terus terpelihara,” jelasnya.

Kenyataan itu berkata, JPP turut memberi jaminan bahawa ATM akan terus berdiri sebagai sebuah institusi pertahanan negara yang profesional, berintegriti dan diyakini, serta kekal komited melaksanakan amanah mempertahankan kedaulatan dan keselamatan Malaysia tanpa sebarang kompromi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN