Bekas Pengerusi Serantau Muslim didakwa lagi salah guna dana kemanusiaan

Bekas Pengerusi Serantau Muslim didakwa lagi salah guna dana kemanusiaan

Mohd. Hakim Mohd. didakwa sekali lagi di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas enam pertuduhan menyalahgunakan harta pertubuhan membabitkan wang derma misi kemanusiaan berjumlah lebih RM576,000.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Bekas Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim, Mohd. Hakim Mohd. Nor, 39, didakwa sekali lagi di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas enam pertuduhan menyalahgunakan harta pertubuhan membabitkan wang derma misi kemanusiaan berjumlah lebih RM576,000.

Tertuduh mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Hakim didakwa selaku pengerusi pertubuhan berkenaan telah secara tidak jujur menyalahgunakan harta milik Pertubuhan Kebajikan Serantau Muslim berjumlah keseluruhan RM576,995.40.

Wang tersebut merupakan sumbangan orang ramai bagi tujuan misi kemanusiaan dengan kerjasama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Myanmar, Yaman, Syria dan Palestin.

Kesemua perbuatan itu dilakukan antara Jun 2019 hingga Mei 2021 melalui akaun Maybank Islamic Berhad Cawangan Merlimau dalam daerah Jasin.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara minimum enam bulan dan maksimum lima tahun serta sebat dan denda bagi setiap pertuduhan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan.

Timbalan Pendakwa Raya, Muaz Ahmad Khairuddin dan Asmaa’ Zamri mencadangkan jaminan sebanyak RM200,000 kerana mengambil kira jumlah wang terlibat serta keseriusan pertuduhan.

Peguam Azizul Shariman Mat Yusoff merayu jaminan dikurangkan dengan alasan terlalu tinggi dan anak guamnya hanya mempunyai tempoh seminggu untuk menyediakan wang tersebut.

Azizul Shariman berkata, tertuduh hadir ke Kompleks Mahkamah Ayer Keroh seawal pukul 8.30 pagi, selain pernah direman dan sentiasa memberikan kerjasama dengan hadir ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) apabila dipanggil bagi membantu siasatan.

Hujahnya, tertuduh sebelum ini telah didakwa di Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur atas pertuduhan sama membabitkan wang RM207,000 dan dibenarkan diikat jamin RM10,000.

“Jika mengambil kira asas sama, saya memohon jaminan sekitar RM20,000 hingga RM30,000 memadai. Tambahan pula, tertuduh akan menghadapi satu lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen Ipoh, Perak esok dan perlu menyediakan jaminan bagi kes berkenaan,” katanya.

Mahkamah membenarkan ikat jamin RM35,000 bagi semua pertuduhan dan menetapkan 13 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Sebelum ini, SPRM mendedahkan penyelewengan dana melibatkan sebuah NGO hasil sumbangan orang ramai yang dipercayai mencecah RM26 juta, susulan tangkapan lima individu termasuk pengerusi, setiausaha, bendahari dan pegawai kewangan menerusi Op Serantau.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×