KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan (KPPP), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Leftenan Jeneral Datuk Mohd. Razali Alias didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini
atas tiga tuduhan menerima suapan pada 2024.
Mohd. Razali, 60, didakwa menerima suapan wang berjumlah AS$20,000 dan tiket penerbangan namun beliau mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan terhadap ketiga-tiga pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.
Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa secara rasuah menerima wang berjumlah AS$20,000 daripada Pengarah Syarikat Intelligence PC Centre Sdn. Bhd., Sheikh Ahmad Nafiq Sheikh A Rahman.
Pemberian itu sebagai dorongan untuk dirinya sebagai pegawai badan awam, iaitu Ketua Pengarah Perisikan Pertahanan Malaysian Defence Intelligence Organisation (MDIO) untui meluluskan sijil pengesahan dan penerimaan perkhidmatan untuk tujuan pembayaran.
Ia bagi Perolehan Perkhidmatan Senggaraan dan Perkhidmatan Sokongan Sistem Pusat Operasi Pertahanan Siber (CDOC) Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP).
Perbuatan itu dilakukan di MDIO, Kem Kementah, Jalan Padang Tembak, di sini, antara Ogos dan November 2024.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang boleh dihukum di bawah seksyen 24(1) akta sama.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh telah menerima untuk isterinya, Azarina Bakia suatu benda berharga iaitu pembayaran berjumlah RM26,800 bagi pembelian tiket penerbangan pergi dan balik antara Kuala Lumpur dan Malaga, Sepanyol dengan tanpa balasan daripada individu sama.
Perbuatan yang dilakukan di lokasi sama, pada 15 November 2024 didakwa di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan.
Bagi pertuduhan ketiga, tertuduh turut menerima untuk isterinya bagi pembelian tiket penerbangan pergi dan balik antara Kuala Lumpur dan Estonia berjumlah RM37,800 tanpa balasan juga daripada individu sama. – UTUSAN










