LIVERPOOL: Penyerang Everton, Thierno Barry meneruskan prestasi cemerlangnya apabila menjaringkan gol penyamaan ketika mengikat Leeds 1-1 dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), semalam.
Everton yang bergelut dengan masalah prestasi dalam saingan liga menerima ejekan daripada penyokong sendiri selepas James Justin meletakkan Leeds di depan.
Namun, Barry meredakan kekecewaan penyokong Everton dengan penyudah tenang 14 minit sebelum tamat perlawanan.
Pemain berusia 23 tahun itu kini telah menjaringkan empat gol dalam lima aksi terakhir liga selepas hanya mencatat satu gol dalam 18 perlawanan pertamanya sejak berpindah dari Villarreal tahun lalu.
“Jika anda seorang penyerang tengah, anda perlu menjaringkan gol dan dia tidak melakukannya pada awalnya. Dia semakin baik.
“Dia berlatih dengan baik dan semakin biasa menjaringkan gol. Kami perlu mencipta lebih banyak peluang dan kami masih cuba mendapatkan semula pemain-pemain serangan kami.
“Saya sangat gembira dengan reaksi pasukan. Saya mempunyai kumpulan pemain yang sangat kuat yang saling menuntut yang terbaik antara satu sama lain,” kata pengendali Everton, David Moyes.
Everton kini berada di tempat ke-10 manakala Leeds berada enam mata di atas zon penyingkiran liga. – AFP










