KOTA BHARU: Wajah tampan bukan jaminan seseorang pelakon lelaki terus berada di puncak kejayaan, sebaliknya bakat dan kemampuan menjiwai watak menjadi senjata sebenar dalam dunia lakonan.
Pelakon, Emma Maembong berkata, industri hiburan tidak seharusnya terikat dengan penilaian rupa semata-mata namun perlu memberi keutamaan kepada mutu lakonan dan kemampuan menyampaikan emosi watak dalam sesebuah karya.
“Pendapat saya paras rupa adalah nombor dua dan yang penting ada bakat dalam lakonan. Industri lakonan kita tidak sepatutnya dibelenggu pemikiran sedemikian atau mempersoal rupa semata-mata.
“Sebaliknya ia perlu diberi peluang kepada mereka untuk berlakon dan tidak boleh menyekat untuk mereka mencari rezeki dalam bidang ini,” katanya pada program Sepetang Bersama Legasi Ismail Embong di Balai Seni Lukis di sini, semalam.
Emma berkata, tiada guna jika seseorang pelakon lelaki itu memiliki wajah yang tampan namun tidak mempunyai bakat kerana menjiwai watak bukan tugas mudah dalam melakonkan drama atau filem.
Media sebelum ini melaporkan, pelakon Fasha Sandha sebagai herion drama Doa Yang Terlindung tampil mempertahan rakan gandingannya, Firdaus Karim yang menjadi sasaran kritikan netizen kerana rupa paras.
Fasha, 41, berkata kecaman terhadap Firdaus yang dikatakan tidak kacak sebagai hero drama adalah tidak wajar dan percaya pelakon tersebut wajar diberi peluang untuk membuktikan bakat dimiliki. – UTUSAN










