Pelaksanaan Program Back To School Eastern Sabah Security Command (Esscom) mencerminkan keprihatinan berterusan kerajaan dan agensi keselamatan dalam menyantuni keperluan pendidikan anak-anak Kampung Inderasabah.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Esscom, Datuk Dr. Jamaluddin Mohd. Ali berkata, pihaknya berbesar hati dapat melaksanakan Program Back To School Esscom dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Inderasabah sebagai simbol keprihatinan terhadap masa depan anak-anak kampung tersebut.
Beliau berkata, pelaburan dalam pendidikan merupakan sebahagian daripada pelaburan jangka panjang bagi memastikan keselamatan, kestabilan dan kesejahteraan komuniti terus terpelihara.
Beliau berkata, pencapaian pelaksanaan projek dan program di Kampung Inderasabah adalah hasil sinergi erat antara pelbagai pihak, termasuk Majlis Perbandaran Tawau dan GiatMara Tawau selaku agensi pelaksana di samping sokongan padu kepimpinan kampung serta pemantauan berterusan oleh Esscom.
“Kerjasama penganjuran kursus kemahiran bersama GiatMARA akan terus diteruskan di Zon ESS bagi memperkukuh pembangunan modal insan dan meningkatkan daya tahan komuniti setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Penyerahan Projek Siap Kampung Angkat Madani dan Program Back To School Esscom bau-baru ini.
Program tersebut diadakan di Dewan Terbuka SK Inderasabah yang dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan. –UTUSAN










