PETALING JAYA: Golongan kurang berkemampuan khususnya dalam kalangan keluarga berpendapatan isi rumah 40 peratus terendah (B40) dikenal pasti sebagai kumpulan yang lebih mudah menghadapi masalah kesihatan mental disebabkan kekangan mendapatkan sokongan dan bantuan secukupnya.
Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah menzahirkan kebimbangan baginda terhadap isu kesihatan mental yang semakin menular dalam kalangan masyarakat khususnya bagi keluarga berpendapatan rendah yang berdepan cabaran persekitaran serta peluang pembangunan diri yang terhad.
Baginda bertitah, sebuah platform positif perlu diwujudkan bagi membentuk jati diri golongan itu supaya terus terpelihara daripada gejala sosial dan isu kesihatan mental, selain membuka laluan kepada kerjaya mereka di masa hadapan.
“Isu ini lebih membimbangkan bagi golongan B40 kerana kemampuan yang terhad dalam mendapatkan bantuan sewajarnya.
“Kesan jangka masa panjang akibat kesihatan mental yang tidak baik bagi golongan kanak-kanak dan remaja amat merisaukan saya kerana ia memberi kesan secara langsung kepada kesejahteraan diri mereka dan masa hadapan negara,” titah baginda semasa melancarkan Program Ilham Seni Diraja di Istana Negara semalam.
Raja Zarith Sofiah bertitah, kejayaan anak muda tidak seharusnya dinilai melalui pencapaian akademik semata-mata kerana sebahagian daripada mereka mempunyai kecenderungan serta bakat dalam bidang kesenian yang wajar diberi perhatian.
Baginda berharap Program Ilham Seni Diraja dapat mengembangkan bakat anak muda dalam muzik, tarian dan cabang kesenian lain sekali gus mewarisi serta meneruskan kekayaan budaya seni Malaysia yang mencerminkan kepelbagaian dan perpaduan rakyat.
“Saya percaya ramai yang mempunyai bakat terpendam namun tidak berpeluang untuk mengetengahkannya. Oleh itu, saya melancarkan program khas ini supaya anak-anak muda daripada golongan B40 tidak hanya bersekolah dan kemudian pulang ke rumah tanpa peluang mengembangkan bakat dan potensi diri yang ada.” titah baginda. – UTUSAN










