Artis kanak-kanak tidak berpeluang membesar dalam persekitaran normal - Shila Amzah - Utusan Malaysia

Artis kanak-kanak tidak berpeluang membesar dalam persekitaran normal – Shila Amzah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyanyi, Shila Amzah, 35, berpandangan had umur minimum seorang bintang kecil perlu dikaji semula bagi mengelakkan pembabitan dalam dunia hiburan pada usia terlalu muda.

Kata Shila, hal demikian kerana kanak-kanak belum mampu menilai baik dan buruk justeru tidak wajar dibiarkan menjadi pelakon atau penyanyi pada usia terlalu muda.

“Artis kanak-kanak tidak berpeluang membesar dalam persekitaran normal. Usia kecil mereka diragut dan akan melalui fasa peralihan hidup yang sangat mencabar.

“Mungkin mereka dapat lalui fasa pembesaran dengan mudah jika ada sistem sokongan yang bagus sekeliling mereka.

“Tapi jika sokongan yang mereka dapat itu lebih memberat kepada membina kerjaya, percayalah, laluan mereka akan menjadi sukar.

“Jadi saya tak sarankan kanak-kanak yang terlalu muda masuk dunia hiburan kerana mereka belum cukup matang untuk menilai baik atau buruk,” ujarnya.

Shila berkata demikian semasa sidang media konsert Shila Amzah in Harmony 25 Years of Music and Memories.

Shila yang juga pernah bergelar artis kanak-kanak mengakui pernah berhadapan gangguan mental disebabkan pembabitan dalam dunia seni pada usia terlalu muda.

“Sampaikan saya terpaksa mendapatkan khidmat pakar untuk memulihkan gangguan mental yang saya hadapi. Harus diketahui, proses pemulihan itu tidak mudah dan mengambil masa yang terlalu lama,” kongsinya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN