KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri mengambil tindakan segera dengan mengarahkan Jabatan Laut Malaysia dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) membersihkan Pantai Teluk Kalong di Kijal, Kemaman dekat sini yang dicemari dengan arang batu sejak kelmarin.
Difahamkan, arang batu itu dihanyutkan ombak dan terdampar di sepanjang kira-kira 500 meter pesisir pantai selepas sebuah tongkang yang membawa muatan bahan api berkenaan hanyut dan melanggar batu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, tindakan membersihkan segera pantai berkenaan dilakukan kerana ia menjadi tumpuan pelancong.
Katanya, beliau difahamkan dua lagi pantai berhampiran iaitu Pantai Telaga Simpul dan Pantai Senanjang turut dicemari arang batu.
“Arang batu ini dikatakan berasal daripada muatan kapal atau tongkang yang rosak atau terjatuh semasa di laut sebelum dibawa arus ke pantai. Insya-Allah perkara ini ditangani dengan segera oleh pihak berkaitan,” katanya hari ini.
Sementara itu, Pengarah JAS Terengganu, Hamzah Mohamad menasihatkan orang ramai supaya tidak bimbang dengan ancaman kesihatan kerana arang batu itu bukan merupakan bahan buangan terjadual dan tidak menjejaskan alam sekitar.
“JAS berbincang dengan wakil pemilik tongkang itu semalam termasuk kerja-kerja membersihkan pantai terlibat. Bagaimanapun, kita masih memantau arang batu yang terdapat di dasar laut pantai itu,” katanya. – UTUSAN










