PETALING JAYA: Kerajaan perlu menyatukan satu aplikasi untuk mengelakkan kekeliruan orang ramai apabila sebahagiannya mempunyai fungsi bertindih, tidak bersepadu dan memerlukan pendaftaran berulang.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, aplikasi seperti MyGov, MyJPJ, MySejahtera dan MyBayar PDRM menyebabkan orang ramai perlu mengisi maklumat peribadi berkali-kali.
Orang ramai ditemui mengakui terpaksa memuat turun beberapa aplikasi semata demi menguruskan urusan harian seperti bayaran saman dan perkhidmatan kesihatan di samping memakan ruang simpanan telefon bimbit.
Peniaga e-dagang, Amani Maisarah Azman, 22, berkata, penggunaan terlalu banyak aplikasi kerajaan menyukarkan urusan harian kerana setiap satu memerlukan kata kunci dan pengesahan berasingan.
“Masalah utama adalah perlu mengingati banyak kata laluan dan mengisi maklumat peribadi yang sama berulang kali walaupun data itu sudah pernah diberikan sebelum ini.
“Jika ada satu aplikasi bersepadu, ia sudah tentu memudahkan dan menjimatkan masa kerana semua urusan boleh dibuat di satu tempat,” katanya.
Bagi penjawat awam, Muhammad Haikal Nor Azmi, 24, pula berkata, penggunaan banyak aplikasi berbeza bukan sahaja membebankan, malah menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan data peribadi.
Katanya, dia terpaksa memuat turun beberapa aplikasi kerajaan untuk urusan bantuan, pembayaran saman dan semakan maklumat kenderaan.
“Saya risau apabila perlu memasukkan nombor kad pengenalan dan butiran peribadi berulang kali dalam aplikasi yang berbeza kerana tidak pasti tahap keselamatan setiap sistem.
“Kerajaan wajar memperkenalkan satu aplikasi bersepadu supaya maklumat rakyat lebih terjamin dan urusan menjadi lebih mudah,” katanya.
Dalam pada itu, pekerja swasta, Rosnani Mohd. Nor, 51, berkata, kewujudan terlalu banyak aplikasi menyukarkan golongan warga emas yang kurang celik teknologi.
Katanya, dia sering meminta bantuan ahli keluarga untuk mengendalikan aplikasi berlainan kerana setiap satu mempunyai susun atur dan cara penggunaan yang berbeza.
“Bagi orang seusia saya, terlalu banyak aplikasi menyebabkan kekeliruan dan ada kalanya terlepas urusan penting kerana tidak tahu aplikasi mana yang perlu digunakan.
“Jika kerajaan menyediakan satu aplikasi sahaja untuk semua perkhidmatan, ia pasti lebih mesra pengguna terutama untuk golongan warga emas,” katanya.
Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil berkata, setiap aplikasi berisiko meningkatkan kebocoran data dan salah guna maklumat peribadi.
Katanya, kerajaan perlu semua aplikasi dengan memberi tumpuan kepada pembangunan platform bersepadu yang membolehkan rakyat mengakses di bawah satu akaun.
“Dari sudut hak pengguna digital, keadaan ini melemahkan prinsip kebertanggungjawaban, ketelusan dan kawalan pengguna terhadap data peribadi mereka.
“Tanpa reformasi ini, pendigitalan sektor awam berisiko mengorbankan kepercayaan rakyat yang merupakan aset paling kritikal dalam ekosistem kerajaan digital,” katanya.
Katanya, pembangunan aplikasi secara silo agensi berbeza tanpa kerangka integrasi nasional yang kukuh membebankan rakyat sebagai pengguna akhir.-UTUSAN










