PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan rasmi ke Türkiye selama dua hari bermula Khamis ini bagi memenuhi jemputan Presiden Republik itu, Recep Tayyip Erdoğan.
Menurut kenyataan Kementerian Luar, lawatan ini merupakan kunjungan balas, susulan daripada lawatan rasmi Erdogan ke Malaysia pada Februari tahun lalu.
Katanya, satu Istiadat Sambutan Rasmi diadakan di Kompleks Presiden di Ankara, diikuti dengan pertemuan empat mata antara Anwar dan Erdoğan bagi membincangkan kerjasama dua hala serta isu-isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama kedua-dua negara.
“Usai pertemuan empat mata, kedua-dua pemimpin akan bersama-sama mempengerusikan Mesyuarat Pertama Majlis Strategik Peringkat Tinggi (HLSC) Malaysia–Türkiye.
“HLSC ini akan menjadi platform untuk menilai status kerjasama dua hala, menyemak perkembangan inisiatif yang sedang dilaksanakan, dan meneroka bidang kerjasama baharu,” katanya hari ini.
Wisma Putra berkata, perbincangan akan merangkumi isu-isu berkaitan perdagangan dan pelaburan, pertanian dan komoditi, pertahanan, keselamatan, tenaga dan semikonduktor.
Ini termasuk isu kesihatan, pelancongan, pendidikan dan pertukaran antara masyarakat serta kerjasama serantau dan antarabangsa.
“Kedua-dua pemimpin seterusnya akan menyaksikan pertukaran beberapa dokumen utama, termasuk Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Kerjasama dalam Bidang Teknologi Maklumat dan Komunikasi.
“MoU mengenai Kerjasama antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia dan Investment and Finance Office of the Presidency of the Republic of Türkiye diadakan selain MoU mengenai Kerjasama antara EXIM Bank Malaysia dan Turk Eximbank,” katanya.
Pada masa sama, Memorandum Persefahaman dan Kerjasama antara Institut Kajian Strategik dan Antaradangsa (ISIS) Malaysia dan Yayasan Penyelidikan Politik, Ekonomi dan Sosial (SETA) turut diadakan.
Selain itu, Surat Setuju Terima Perolehan Satu Unit Kapal Misi Pelbagai Guna (MPMS) dilaksanakan.
Sebagai sebahagian daripada program, Perdana Menteri akan terlibat dalam Mesyuarat Meja Bulat Perniagaan bersama pemain-pemain industri utama Türkiye bagi mempromosikan peluang perdagangan dan pelaburan di Malaysia.
Katanya, melalui kerjasama dengan badan pemikir terkemuka Türkiye, SETA, Perdana Menteri juga dijadual untuk menyampaikan syarahan umum bertajuk “Power Shift: Strategic Choices for Malaysia and Türkiye” yang akan menggariskan keutamaan dasar luar Malaysia dan inisiatif bagi meningkatkan lagi kerjasama dengan Türkiye.
Jelasnya, lawatan ini memperlihatkan komitmen berterusan Malaysia untuk memperkukuhkan hubungan dengan Türkiye, terutamanya selepas hubungan kedua-dua negara dinaik taraf kepada Perkongsian Strategik Komprehensif pada Julai 2022.
“Dari Januari hingga November 2025, jumlah dagangan dua hala Malaysia dengan Türkiye mencecah RM21.2 bilion (AS$4.92 bilion).
“Türkiye terus menjadi rakan ekonomi penting bagi Malaysia. Pada tahun 2024, Türkiye merupakan rakan dagang










