Angkatan Sukarela diperkukuh, sasaran 95,000 anggota

Angkatan Sukarela diperkukuh, sasaran 95,000 anggota

SIDANG Pengerusi Pengerusi Jawatankuasa Pendukung (SPJP) Angkatan Sukarela Semalaysia Ke-19 di Wisma Perwira ATM, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Keanggotaan Angkatan Sukarela Angkatan Tentera Malaysia (ATM) terus diperkasakan seiring perancangan pertahanan negara yang menyasarkan penyertaan 95,000 anggota bagi memperkukuh kesiapsiagaan dan daya tahan pertahanan nasional.

Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan (Mindef), Datuk Lokman Hakim Ali berkata, setakat 31 Disember 2025, seramai 36,610 anggota Angkatan Sukarela direkodkan, merangkumi 28,213 anggota Askar Wataniah, 5,419 anggota Pasukan Simpanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan 2,978 anggota Pasukan Simpanan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Menurut beliau, sasaran keseluruhan keanggotaan Angkatan Sukarela ditetapkan seramai 95,000 orang, melibatkan 80,000 anggota Askar Wataniah, 10,000 anggota Pasukan Simpanan TLDM dan 5,000 anggota Pasukan Simpanan TUDM, selaras dengan keperluan pertahanan negara masa hadapan.

“Walaupun Angkatan Sukarela telah mencatatkan pencapaian yang memberangsangkan, beberapa cabaran utama seperti pengambilan anggota, pengekalan keanggotaan dan kesiapsiagaan mobilisasi perlu ditangani secara berstruktur.

“Dalam hal ini, terdapat potensi yang signifikan untuk memperkukuh Angkatan Sukarela sebagai komponen sokongan strategik yang berdaya tahan dan responsif terhadap keperluan pertahanan semasa,” katanya dalam ucapan pada Sidang Pengerusi-Pengerusi Jawatankuasa Angkatan Pendukung Angkatan Sukarela Semalaysia di sini, hari ini.

Dalam pada itu, kata beliau, kerajaan komited menyediakan sokongan menyeluruh kepada Angkatan Sukarela melalui penyediaan faedah dan kemudahan merangkumi aspek kebajikan, latihan, perlindungan serta pengiktirafan perkhidmatan.

“Langkah ini bukan sahaja bertujuan menggalakkan penyertaan rakyat, malah menyokong pengekalan anggota dan meningkatkan tahap kesiapsiagaan keseluruhan.

“Sehubungan itu, pendekatan promosi Angkatan Sukarela perlu diperkasakan secara lebih strategik dan berfokus, termasuk melalui kerjasama dengan kerajaan negeri, majikan, institusi pendidikan dan komuniti setempat bagi meningkatkan kesedaran, minat dan penyertaan rakyat, khususnya dalam kalangan golongan muda dan tenaga profesional,” katanya.

Dalam pada itu, Lokman Hakim berkata, sidang SPJP ini diharap menjadi platform perbincangan konstruktif bagi memperkukuh penyelarasan antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, termasuk penerokaan inisiatif bersama, insentif bersesuaian serta perkongsian sumber demi menyokong pembangunan dan kelestarian Angkatan Sukarela.

“Kertas Putih Pertahanan (KPP) yang menetapkan tiga tonggak strategik pertahanan negara iaitu Cegah Rintang Berpadu, Pertahanan Komprehensif dan Perkongsian Berwibawa sebagai asas perancangan dan pelaksanaan dasar pertahanan secara menyeluruh dan bersepadu.

“Dalam kerangka ini, Tonggak Kedua: Pertahanan Komprehensif menekankan pendekatan whole-of-government dan whole-of-society (WoGoS) bagi memperkukuh keupayaan pertahanan negara melalui penglibatan keseluruhan jentera kerajaan dan masyarakat,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN