PETALING JAYA: Pelakon filem Duyung: Legenda Aurora, Nadia Brian, mengakui kecewa dengan hasil akhir filem itu yang disifatkan mencalarkan imej dan reputasi industri filem Malaysia.
Nadia atau Nadia Najwa Mohamed Rashidi, 34, memberi rating serendah 0.5/10 kerana tidak berpuas hati dengan aspek teknikal filem lakonannya itu.
“Editor filem ini seolah-olah telah merosakkan setiap syot. Saya percaya Pengarah Sinematografi (DOP) telah merakam banyak ‘footage’, tetapi kenapa hanya satu sudut yang digunakan?
“Potongan setiap babak langsung tidak masuk akal. Adakah anda fikir ini projek tahun akhir pelajar? Setiap babak berakhir secara tiba-tiba dan terasa tergantung,” tulisnya menerusi hantaran di media sosial.
Selain aspek suntingan, Nadia turut menempelak kualiti warna (color grading) dan kesan khas yang didakwanya tidak mencapai piawaian layar perak, malah menyamakannya dengan video di platform YouTube.
Lebih mengecewakan, aktres itu mendedahkan penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) yang keterlaluan dan berkualiti rendah dalam babak kemuncak filem tersebut.
“Mari bercakap tentang AI. Adakah anda ingat kami tidak perasan babak pertarungan terakhir itu 100 peratus menggunakan AI?
“Apa fungsinya melakukan penggambaran di lokasi jika pada akhirnya anda menukar keseluruhan babak dengan AI berkualiti rendah? Anda telah menjahanamkan kualiti dan reputasi industri filem Malaysia,” tegasnya lagi.
Nadia yang turut terlibat dalam pembikinan filem tersebut mengakui sangat kecewa kerana pada awalnya dia menyangka naskhah itu akan menjadi sebuah karya yang hebat.
Susulan kegagalan teknikal dan pengurusan bajet yang didakwa bermasalah, Nadia turut menggesa agar pengarah filem tersebut, Prof. Madya Datuk Dr. A. Razak Mohaideen berhenti daripada terus mengarah.
“Produksi teruk. Pengarah perlu berhenti mengara, anda telah merosakkan kualiti filem kami. Kami mahukan peningkatan (upgrade), bukannya penurunan (downgrade),” katanya.










