AMK sangkal dakwaan sistem PKR 'memangsakan' orang bawah - Utusan Malaysia

AMK sangkal dakwaan sistem PKR ‘memangsakan’ orang bawah

MUHAMMAD Kamil Abdul Munim (tengah) bersama pelajar yang menerima bantuan persekolahan RM100 dalam program Sumbangan Kasih Madani: Kembali Ke Sekolah 2026 di Padang Rengas.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG RENGAS: Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyangkal dakwaan Datuk Seri Rafizi Ramli bahawa sistem Parti Keadilan Rakyat (PKR) lebih cenderung mempertahankan kepimpinan atasan sehingga menjejaskan kepentingan ahli di peringkat akar umbi.

Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, kenyataan yang dikeluarkan bekas Timbalan Presiden PKR itu bersifat peribadi dan tidak menggambarkan situasi sebenar parti, khususnya dalam pemilihan PKR peringkat pusat tahun lalu.

Katanya, dari segi pengurusan dan pelaksanaan, sistem pemilihan parti pada ketika itu jauh lebih baik berbanding proses pemilihan sebelum ini.

“Walaupun terdapat beberapa kekurangan dari segi pelaksanaan termasuk kekecohan yang berlaku, namun secara keseluruhan pemilihan parti pada tahun lalu berjalan dengan baik.

“Jadi, saya tidak fikir bahawa sistem berkenaan diwujudkan untuk mempertahankan kelompok tertentu (dalam parti) kerana ia dilaksanakan secara telus dan melalui proses audit seperti yang dituntut,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan program Sumbangan Kasih Madani: Kembali Ke Sekolah 2026 bagi Parlimen Padang Rengas di pekarangan Pusat Komuniti Rakyat Padang Rengas, Taman Puncak Bougainvillea, di sini hari ini.

Dalam program tersebut, seramai 500 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah di Parlimen Padang Rengas menerima bantuan persekolahan sebanyak RM100 setiap seorang, melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM50,000.

Mengulas lanjut, Muhammad Kamil yang juga Setiausaha Politik Menteri Kewangan berkata, segala keputusan berkaitan sistem dan proses pemilihan parti dilaksanakan mengikut tatacara yang telah ditetapkan.

Malah katanya, setiap perkara telah dibawa dalam perbincangan menerusi mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) sebelum diputuskan dan dipersetujui bersama untuk dilaksanakan.

“Tidak timbul soal langgar itu, langgar ini. Semua keputusan dibuat secara bersama di dalam mesyuarat MPP PKR.

“Dan sepatutnya, kita harus memberi tumpuan kepada gerak kerja politik di lapangan, bergerak ke hadapan dan membina semula kekuatan parti,” katanya.

Terdahulu, Rafizi yang juga merupakan bekas Menteri Ekonomi dilaporkan berkata, peletakan jawatannya disebabkan oleh sistem parti yang mempertahankan kepimpinan atasan sehingga menjejaskan kepentingan akar umbi.

Rafizi dalam podcast Yang Bakar Menteri (YBM) mendedahkan bahawa beliau tidak boleh menyokong keputusan dan sistem yang ‘menyelamatkan’ orang atas tetapi ‘memangsakan’ orang bawah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN