KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan, Albert Tei Jiann Cheing memfailkan saman pemula di Mahkamah Tinggi bagi mencabar tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mengarahkan individu memakai baju lokap walaupun belum disabitkan bersalah.
Menurut saman yang difailkan pada 7 Januari lalu, Albert, 37, memohon satu deklarasi bahawa tindakan tersebut adalah tidak berperlembagaan serta melanggar haknya di bawah Perkara 5(1) dan Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan.
Albert selaku plaintif menamakan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia serta Kerajaan Malaysia sebagai defendan-defendan.
Dalam saman itu, plaintif turut menuntut ganti rugi bagi tempoh tahanannya dari 29 November hingga 4 Disember 2025.
Selain itu, Albert turut memohon perintah bahawa tiada kos dikenakan serta pemberian apa-apa perintah berbangkit atau relif lain yang difikirkan sesuai dan adil oleh Mahkamah.
Menurut alasan ringkas permohonan, Albert mendakwa beliau telah diarahkan memakai baju lokap berwarna jingga yang tertera tulisan ‘lokap SPRM’ selepas ditangkap pada 28 November tahun lalu.
Usai penangkapannya, Albert dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya pada 29 November bagi tujuan permohonan reman.
Menurut Albert, ketibaannya disambut jurugambar serta individu tidak dikenali yang telah mengambil gambar dan merakam video di pekarangan mahkamah, sekaligus mendedahkannya kepada perhatian umum.
Albert mendakwa tindakan SPRM mengarahkannya memakai pakaian tersebut di hadapan media dan orang awam merupakan satu pelanggaran hak perlembagaannya di bawah Perkara 5 dan Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.
“Pada ketika itu, ramai jurugambar serta individu yang tidak dikenali telah mengambil gambar dan merakam video ketika plaintif memakai baju oren tersebut.
“Tindakan itu secara tidak langsung telah memalukan plaintif dengan mendedahkannya secara terbuka,” kata saman berkenaan.
Sementara itu, peguam bela, N Surendran yang mewakili Albert berkata, anak guamnya mempunyai alasan kukuh untuk mencabar perkara tersebut di mahkamah kerana tiada seseorang pun boleh dianggap bersalah sehingga dibuktikan sebaliknya.
“Atas kuasa undang-undang apa seseorang yang ditangkap dan masih disiasat dipaksa memakai baju lokap berwarna oren, gambarnya diambil dan kemudian disebarkan di internet, media dan televisyen?
“Jika orang itu dibebaskan di mahkamah, apa yang berlaku kepada maruahnya? Bolehkah ia ditebus?” katanya kepada pemberita ketika sidang akhbar di pekarangan mahkamah, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Surendran berkata, mereka turut menuntut ganti rugi bagi pihak Albert kerana memaksa anak guamnya memakai baju oren sehingga memalukannya secara terbuka.
“Bagaimanapun, jumlah ganti rugi itu tidak dinyatakan kerana terpulang kepada mahkamah untuk menilai berdasarkan keterangan.
“Isunya adalah prinsip keadilan untuk rakyat supaya selepas ini tiada individu yang belum disabitkan bersalah dimalukan secara terbuka,” katanya. – UTUSAN










