Air Space Sandbox berskala besar pertama di Malaysia

Air Space Sandbox berskala besar pertama di Malaysia

PROF. Dr. Hazry Desa memeriksa dron yang dipamerkan di Pusat Kecemerlangan Pesawat Tanpa Pemandu (COE-UAS) Unimap di Kangar, Perlis baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENERUSI Belanjawan 2026, kerajaan mengumumkan peruntukan sebanyak RM16 juta bagi bidang Aeronautik di mana sebahagian daripadanya diperuntukkan untuk pembangunan projek Air Space Sandbox iaitu sebuah inisiatif strategik yang bakal melonjakkan Malaysia ke arah pengurusan ruang udara dron yang selamat, terkawal dan berteknologi tinggi.

Projek tersebut yang diterajui oleh Ketua Pusat Kecemerlangan Pesawat Tanpa Pemandu (COE-UAS), Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Prof. Dr. Hazry Desa itu dijangka mula beroperasi dalam tempoh dua tahun akan datang melibatkan kawasan seluas kira-kira 30 hektar di Sungai Batu Pahat, Kangar, Perlis.

Menariknya, apabila siap kelak, Air Space Sandbox akan menjadi pusat pengujian dron berskala besar pertama di Malaysia, lengkap dengan radar, sistem telekomunikasi, stesen kawalan darat, koridor penerbangan ujian, pusat simulasi dan kemudahan digital yang membolehkan pemantauan secara masa nyata.

Hazry yang mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dengan pelbagai kejayaan dalam bidang tersebut berkata, pembangunan Air Space Sandbox bertujuan menyediakan ruang ujian bersepadu untuk pengujian, pengesahan dan perakuan penerbangan dron pelbagai skala.

Katanya, ia termasuk dron yang membawa muatan melebihi 250 kilogram (kg) seperti dron kargo dan teksi udara (air taxi).

Ujarnya, fasiliti berkenaan turut menyokong pengujian teknologi mobiliti udara generasi baharu serta pembangunan sistem pengurusan trafik udara tanpa pemandu (UTM), iaitu sistem kawalan yang membolehkan banyak dron beroperasi secara serentak dengan selamat di ruang udara rendah yang ditetapkan.

“Idea pembangunan projek berkenaan telah mula digarap sejak beberapa tahun lalu, namun hanya kini menjadi kenyataan setelah kertas cadangan penyelidikan tersebut diterima untuk dilaksanakan.

“Apabila beroperasi nanti, Air Space Sandbox akan menjadi tapak utama penyelidikan dan inovasi dron negara. Ia bukan sekadar medan ujian, tetapi turut menjadi hab kolaborasi industri dan akademia untuk membangunkan sistem penerbangan tanpa pemandu yang mematuhi piawaian antarabangsa,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Tambahnya, fasiliti itu dibangunkan berkonsepkan vertiport atau lapangan terbang menegak, seiring dengan hala tuju global ke arah urban air mobility (UAM).

Katanya, dron-dron yang diuji akan beroperasi dalam lingkaran aerodrome model fungsian (functional mock-up aerodrome) yang dikawal sepenuhnya bagi membolehkan pelbagai senario operasi sebenar dijalankan secara terkawal.

Dalam aspek kolaborasi pula, Hazry berkata, COE-UAS kini dalam proses menjalin kerjasama dengan rakan industri antarabangsa termasuk syarikat dari Turki, Jerman, China dan beberapa lagi.

“Malah, Boustead Group Berhad (Boustead) juga memaklumkan keterbukaan untuk berkolaborasi bagi penggunaan bersama ruang udara tersebut dalam aktiviti penyelidikan dan demonstrasi teknologi baharu,” katanya.

 

Prof. Hazry Desa menumpukan kepada kerja-kerja penyelidikannya tentang dron termasuk teknologi-teknologi terkini pesawat tersebut yang semakin berkembang pesat. – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN

Daripada segi pemilihan lokasi, beliau menjelaskan, Sungai Batu Pahat dipilih kerana faktor demografi dan geografi yang tidak padat penduduk serta dikelilingi kawasan pertanian dan sawah padi, menjadikannya lokasi sesuai dan selamat bagi aktiviti ujian penerbangan.

Katanya, kawasan berkenaan juga pernah mendapat kelulusan daripada pihak Penerbangan Awam Malaysia sebagai landasan microlight sekitar era 80-an dahulu.

“Maka, terdapat infrastruktur sedia ada seperti ‘runway’ yang boleh ditambah baik untuk tujuan ujian penerbangan,” katanya.

Katanya lagi, selain daratan di Sungai Batu Pahat, pihaknya turut merancang menjadikan perairan sekitar Kuala Perlis sebagai tapak ujian tambahan, khususnya untuk dron berskala besar dan operasi penerbangan berisiko rendah di kawasan laut terbuka yang juga dikenal pasti sebagai zon selamat dan strategik.

Bagi jangka panjang pula katanya, projek tersebut dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan lebuh raya udara (skyway) negara iaitu satu rangkaian koridor penerbangan rendah yang membolehkan penghantaran barang, logistik dan pengangkutan manusia menggunakan dron secara efisien.

“Di China dan beberapa negara lain perkhidmatan penghantaran menggunakan dron kargo sudah menjadi kenyataan. Malaysia juga akan ke arah itu dengan syarat kita bersedia dari aspek undang-undang, piawaian keselamatan dan sokongan infrastruktur,” katanya.

Sementara itu, katanya, pembangunan Air Space Sandbox bukan sahaja bakal merancakkan ekonomi negeri ini melalui kemasukan pelaburan dan peluang pekerjaan baharu, tetapi juga meletakkan Malaysia di barisan hadapan dalam teknologi penerbangan tanpa pemandu.

“Teknologi dron bukan lagi masa depan, ia sudah menjadi keperluan hari ini. Air Space Sandbox akan memastikan kita tidak ketinggalan dalam gelombang transformasi ruang udara global,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN