PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan menandatangani Akta Antibuli 2026 yang diluluskan di Parlimen pada 3 Disember lalu.
Seri Paduka Baginda menandatangani undang-undang tersebut di Istana Bukit Tunku, hari ini.
Menurut hantaran Facebook Sultan Ibrahim, Akta Antibuli 2026 adalah bagi mewujudkan suatu mekanisme khusus untuk menangani kes buli bagi ke semua mangsa yang telah ditakrif dan diperuntukkan di bawahnya.
Di bawah akta ini, Menteri Pendidikan, Majlis Amanah Rakyat (MARA), Menteri Pertahanan, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, serta Menteri Dalam Negeri diberi kuasa untuk menguruskan dan mengawal selia kes buli di institusi pendidikan atau institusi lain di bawah tanggungjawab dan bidang kuasa masing-masing.
Sebuah tribunal bagi Antibuli juga akan ditubuhkan sebagai suatu badan kuasa kehakiman khusus untuk menerima, mendengar dan menentukan aduan buli yang dibuat oleh mangsa.
Platform tersebut akan memberikan apa-apa pampasan atau perintah yang sewajarnya bagi maksud pembelaan dan keadilan terhadap mangsa buli itu.-UTUSAN










