TANGIER, Maghribi: Senegal muncul pasukan pertama mengesahkan tempat ke suku akhir Piala Negara-Negara Afrika 2025 (AFCON) selepas bangkit menewaskan Sudan 3-1 dalam aksi pusingan 16 akhir di Stade de Tanger, semalam.
Pengendali Senegal, Pape Bouna Thiaw, memuji tahap fokus dan semangat juang anak buahnya selepas ketinggalan awal untuk bangkit mencipta kemenangan.
“Kami perlu bekerja keras untuk bangkit selepas bolos awal. Saya tabik pemain kerana kekal fokus dan berjaya pulih untuk memenangi perlawanan ini.
“Kami akan memberi tumpuan kepada perlawanan seterusnya dengan membaiki beberapa kelemahan yang dikenal pasti sambil meneruskan sasaran kami dengan intensiti tinggi,” kata Thiaw.
Pada aksi itu, Sudan mengejutkan Senegal apabila Aamir Abdallah meledak gol pembukaan menerusi percubaan kaki kiri menewaskan Edouard Mendy pada minit keenam.
Senegal bangkit dengan dua gol dicetak pemain tengah, Pape Gueye pada minit ke-29 dan penghujung babak pertama, disusuli ledakan pemain gantian berusia 17 tahun, Ibrahima Mbaye (m-77) untuk menjadi penjaring kedua termuda dalam sejarah AFCON.
Sementara itu, Mali pula muncul pasukan kedua mara ke pusingan lapan terbaik apabila menewaskan Tunisia 3-2 menerusi penentuan sepakan penalti, biarpun beraksi dengan 10 pemain, selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam aksi pusingan 16 terakhir.
Penjaga gol Mali, Djigui Diarra, muncul wira apabila menyelamatkan dua sepakan dalam penentuan penalti untuk memastikan kemenangan pasukannya dan mara ke suku akhir bertemu Senegal di Tangier, Jumaat ini. – AGENSI/UTUSAN










