SETIU: “Jika hanya pembedahan membuang kedua-dua bebola mata dapat menyelamatkannya, saya reda,” luah ibu kepada kanak-kanak berusia setahun enam bulan, Mohamad Aisy Naufal Mohd. Fathli atau lebih mesra dipanggil Adam yang menderita kanser mata.
Nurul Hidayah Rosli, 33, berkata, anak bongsunya itu disahkan menghidap penyakit berkenaan ketika berusia tiga bulan.
“Semasa awal kelahirannya, Adam seperti anak-anak lain yang secara luarannya kelihatan normal sehinggalah suatu hari saya menyedari anak mata kirinya kosong.
“Sejak itu, saya rujuk rawatan Adam ke hospital dan dia disahkan buta manakala penyakit kanser matanya pula dikesan selepas ketiga-tiga anak saya termasuk Adam mengalami sakit mata pada Mac tahun lalu,” katanya ketika ditemui di Kampung Bukit Gerebar di sini.
Nurul Hidayah berkata, kanser mata anaknya merebak sangat cepat dalam tempoh setahun dan kini disahkan di tahap empat yang mengakibatkan kedua-dua belah mata membengkak.
Katanya, bengkak di bahagian mata berlaku secara berperingkat sehingga menyebabkan mata kanak-kanak itu hampir terkeluar daripada rongga.
“Keadaan ini menyebabkan mata anak sentiasa mengeluarkan darah dan mudah dijangkiti kuman. Ketika ini, keadaan mata sebelah kiri bengkak dan saya menutupnya menggunakan alatan khas seperti disarankan oleh hospital.
“Ketika peringkat awal dahulu, Adam dibawa ke Hospital Setiu sebelum dirujuk dan dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ). Adam dijangka menjalani pembedahan untuk membuang kedua-dua bebola matanya dalam masa terdekat di Hospital Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian, Kelantan,” katanya.
Nurul Hidayah berkata, pada awalnya dia berat hati meneruskan rawatan kerana bimbang anaknya tidak mampu menahan sakit.
Namun, melihat semangat Adam yang kuat selain sokongan rakan-rakan serta keluarga, membuatkanya tekad ingin anaknya sembuh meskipun tanpa pancaindera.
Katanya, pembedahan perlu dilakukan bagi mengelak sel kanser merebak ke bahagian tulang dan otak yang dikhuatiri boleh membuatkan kesihatan Adam semakin parah.
Sumbangan boleh disalurkan ke akaun 7622345311 (CIMB) milik Nurul Hidayah Rosli. – UTUSAN










