Ada yang ‘kacau’ proses pelantikan Pengerusi PN yang baharu - Utusan Malaysia

Ada yang ‘kacau’ proses pelantikan Pengerusi PN yang baharu

AFNAN HAMIMI TAIB AZAMUDDEN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Terdapat kelompok tertentu dalam Perikatan Nasional (PN) yang sedang membuat ‘kekacauan’ sehingga menyebabkan proses pelantikan Pengerusi PN yang baharu berdepan masalah.

Ketua Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, pelantikan Pengerusi yang baharu sepatutnya mudah kerana Tan Sri Muhyiddin Yassin telah berjiwa besar dengan mengumumkan peletakan jawatannya dan memberi surat rasmi.

Katanya, langkah seterusnya adalah hanya perlu memanggil mesyuarat khas PN untuk menerima dan mengesahkan peletakan jawatan Muhyiddin.

“Mudah sahaja, tidak perlu berbelit-belit pun. Pertikai siapa yang layak panggil mesyuarat, hurai tafsir Perlembagaan PN ikut faham sendiri, bawa orang ini jumpa orang itu, minta orang itu sokong orang ini. Ini semua perangai berbelit-belit.

“Yang berbelit-belit ini biasanya ada rancangan lain, rancangan untuk gagalkan semua proses yang mudah tadi. Mereka inilah punca masalah, rakyat boleh tonton siapa yang sedang membelit. Mereka tidak ramai, mudah dikenali,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Malam tadi, Muhyiddin ketika ditemui pemberita selepas Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memaklumkan, peletakan jawatannya akan dibincang dan diputuskan secara muktamad pada mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN kelak.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, beliau sudahpun menjelaskan mengenai sebab peletakan jawatan itu pada mesyuarat MPT Bersatu.

Muhyiddin sebelum ini mengumumkan peletakan jawatannya berkuat kuasa pada 1 Januari lalu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN