‘Abe Lompat Tikam’ pertaruh resipi empat generasi - Utusan Malaysia

‘Abe Lompat Tikam’ pertaruh resipi empat generasi

MUHAMAD Amirul Hakkim Mohd Norzlan menunjukkan lompat tikam yang dijual di Kampung Tok Saboh, Kuala Besut, Terengganu. – UTUSAN/WAN ZURATIKAH IFFAH WAN ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BESUT: Meskipun peredaran masa mendorong perubahan dalam proses pembuatan kuih, anak muda dari Kampung Tok Saboh, Kuala Besut di sini yang mengusahakan lompat tikam masih mengekalkan cara tradi­sional menggunakan dapur kayu.

Muhamad Amirul Hakkim Mohd. Norzlan, 31, berkata, dia meneruskan perniagaan kuih tradisional ibu bapanya sejak 2020, ketika negara bergelut dengan Covid-19.

“Sebelum ini saya berniaga pakaian kecil-kecilan, selepas itu emak, Norazliza Awang Him, 58, meminta mengambil alih perniagaan keluarga. Kebetulan ketika itu negara dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Bermula dari itu, saya membuat siaran langsung dalam media sosial dan mengambil pesanan dalam kalangan warga Kuala Besut serta menjual secara bayar ketika terima (COD),” katanya ketika ditemui.

Menurut Muhamad Amirul Hakkim, lebih istimewa lompat tikam yang dihasilkan masih menggunakan resepi berusia 100 tahun yang diwarisi daripada moyangnya dan diturunkan kepada empat generasi terma­suk dirinya.

Bukan hanya menggunakan kayu api untuk memasak, dia yang terkenal dengan gelaran ‘Abe Lompat Tikam’ menghasilkan bahan utama iaitu tepung beras sendiri.

“Penggunaan dapur kayu api menghasilkan aroma tersendiri manakala tepung beras buatan sendiri pula adalah lebih lazat. Kita boleh menjamin kualiti tepung itu apabila ia dihasilkan daripada air tangan sendiri.

“Selain itu, untuk warna yang menghiasi lompat tikam ini, saya tidak menggunakan sebarang pewarna tiruan dan kita menggunakan 100 peratus pewarna semula jadi. Contoh­nya adalah menghasilkan warna hijau dengan menggunakan daun pandan,” katanya.

Katanya, lompat tikam yang dihasilkan menerima per­mintaan tinggi sehingga mencecah lebih 1,000 bungkus seminggu.

Jumlah itu meningkat lebih banyak pada waktu cuti persekolahan dan musim kenduri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN