80 panggilan bantuan kesihatan mental diterima setiap hari, kes melonjak setiap tahun

80 panggilan bantuan kesihatan mental diterima setiap hari, kes melonjak setiap tahun

DZULKEFLY AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Talian bantuan kesihatan mental HEAL 15555 merekodkan sebanyak 163,709 panggilan sejak mula beroperasi pada 21 Oktober 2022 hingga akhir tahun lalu, sekali gus mencerminkan peningkatan keperluan sokongan kesihatan mental dalam kalangan masyarakat.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, daripada jumlah itu, 125,417 kes atau 77 peratus menerima bantuan sokongan emosi, manakala 38,292 kes atau 23 peratus diberikan intervensi khusus oleh Pegawai Psikologi Kaunseling.

Katanya, angka tersebut menunjukkan semakin ramai rakyat berani tampil mendapatkan bantuan, sekali gus menandakan usaha menghapuskan stigma terhadap isu kesihatan mental mula membuahkan hasil.

“Apa yang kita lihat ialah semakin ramai bersedia untuk mendapatkan bantuan. Usaha mendapatkan sokongan kesihatan mental kini semakin meningkat, menyebabkan lebih ramai menghubungi talian HEAL 15555,” katanya selepas Majlis Perjumpaan dan Amanat Tahun Baharu 2026, di sini hari ini.

Menurutnya, 294 kes idea bunuh diri diberikan intervensi psikologi, manakala 157 kes cubaan bunuh diri lagi dirujuk segera dengan pengaktifan MERS999 hasil kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Kecemasan dan kesemua individu terbabit berjaya diselamatkan dan dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Beliau berkata, purata panggilan yang diterima adalah sekitar 80 panggilan sehari, dengan trend menunjukkan peningkatan ketara setiap tahun.

Pada 2023, talian itu merekodkan 27,738 panggilan, meningkat kepada 42,990 panggilan pada 2024 sebelum melonjak hampir dua kali ganda kepada 90,981 panggilan pada 2025.

Menurut Dr. Dzulkefly, peningkatan tersebut dipengaruhi pelbagai faktor, termasuk tekanan kehidupan semasa serta tahap kesedaran masyarakat yang semakin tinggi terhadap kepentingan kesihatan mental.

“Sukar untuk kita menentukan faktor atau punca secara khusus, namun tekanan semasa dan peningkatan kesedaran untuk mendapatkan bantuan antara penyumbang kepada peningkatan ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN