75 peratus kes kebakaran terbuka di kawasan belukar

75 peratus kes kebakaran terbuka di kawasan belukar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) merekodkan hampir 75 peratus kes pembakaran terbuka melibatkan kawasan belukar di seluruh negara pada Januari tahun ini.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Ts. Nor Hisham Mohammad berkata, jumlah itu bersamaan 2,660 kes daripada keseluruhan 3,565 kes kebakaran terbuka dicatatkan sepanjang bulan ini.

“Sumbangan utama kebakaran terbuka ini adalah pembakaran kawasan belukar sebanyak 2,660 kes, manakala selebihnya melibatkan sawah padi, hutan, kebun kecil dan kawasan lain,” katanya dalam sidang akhbar JBPM, di sini, hari ini.

Katanya, kebakaran di kawasan sampah merekodkan 528 kes, diikuti kawasan hutan (185 kes), kebun kecil (114 kes), sawah padi (58 kes), ladang (15 kes) dan tapak pembinaan (tiga kes).

Nor Hisham berkata, peningkatan kes tersebut dipengaruhi oleh cuaca kering berpanjangan selain sikap segelintir pihak yang masih melakukan pembakaran terbuka walaupun risiko telah diketahui umum.

Beliau menegaskan, kebakaran terbuka bukan sahaja mengancam alam sekitar, malah boleh mengakibatkan kerugian besar serta membahayakan keselamatan orang awam.

“Kita ada kes di Johor apabila pembakaran belukar berhampiran kawasan kedai menyebabkan 18 kenderaan yang diparkir musnah. Nilai belukar itu mungkin tidak seberapa, tetapi kerugian akibat 18 kereta yang terbakar sangat besar,” katanya.

Nor Hisham berkata, JBPM turut merekodkan kejadian kebakaran kawasan gambut yang berlaku terlalu hampir dengan kawasan perumahan sehingga memaksa penduduk dipindahkan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN