500 gadai nyawa guna jambatan gantung uzur, rosak

500 gadai nyawa guna jambatan gantung uzur, rosak

PENDUDUK terdedah bahaya setiap kali menggunakan jambatan gantung yang sudah uzur dan rosak di Kampung Jelekis, Lata Rek, Kuala Krai, Kelantan-UTUSAN/YATIMIN ABDULLAH.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA KRAI: Lebih 500 penduduk di Kampung Jelekis dan Tok Uban, Lata Rek, berdepan risiko termasuk kehilangan nyawa apabila menggunakan jambatan gantung yang sudah uzur merentasi Sungai Chatel untuk urusan harian, termasuk menghantar anak ke sekolah.

Tinjauan mendapati penduduk tidak mempunyai pilihan lain dan terpaksa menggunakan jambatan berusia 32 tahun dan setinggi enam meter itu kerana ia merupakan satu-satunya laluan keluar masuk kampung.

Wakil penduduk, Sakeri Isa, 61, berkata, setiap kali menggunakan jambatan itu, dia tidak putus-putus berdoa dan berzikir untuk mengelakkan sebarang bahaya.

“Inilah satu-satunya laluan bagi kemudahan penduduk di sini. Walaupun berdepan risiko yang boleh mengancam nyawa, kami tetap terpaksa menggunakannya.

“Besar harapan saya agar kerajaan dapat membaik pulih atau menggantikan jambatan dengan yang baharu demi keselamatan penduduk,” katanya ketika ditemui pemberita di sini semalam.

Mengulas lanjut, Sakeri berkata, dia bimbang jika langkah segera tidak diambil, ia boleh menyebabkan kemala­ngan yang meragut nyawa sekiranya penduduk terjatuh ke dalam sungai.

Katanya, beliau tidak mahu kejadian jambatan runtuh di Kampung Chatel berulang di kawasan ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Lata Rek, Mohamad Zamri Mohd. Noor, berkata, pihaknya sudah membawa aduan itu kepada kerajaan untuk diambil tindakan.

Beliau berharap tindakan segera diambil bagi mengelakkan penduduk terus terdedah kepada bahaya kerana struktur jambatan itu sudah tidak lagi kukuh. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×