SERAMAI 45 orang murid teruja dan memperoleh pengetahuan fardu kifayah ketika menyertai Program Pengurusan Jenazah di Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram Bungor, Lipis, Pahang baru-baru ini.
Program separuh hari itu antara pengisian pembinaan insan murid pada akhir tahun telah disampaikan oleh Pembantu Hal Ehwal Islam Masjid Sultan Mahmud, Kuala Lipis, Mohd Akmal Abdul Manab. Hadir sama, Guru Besar SK Jeram Bungor, Hasnoraidah Wan Azman.
Bercakap kepada Utusan Pelajar, penyelaras program, Asyraf Hakimi Budin berkata, aktiviti berkenaan bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan asas kepada guru dan murid mengenai hukum dan tatacara pelaksanaan pengurusan jenazah.
“Program ini cukup signifikan untuk melahirkan lebih ramai sukarelawan fardu kifayah yang berkemahiran menguruskan jenazah selain memupuk nilai tanggungjawab sosial dalam kalangan murid,” katanya di SK Jeram Bungor baru-baru ini. Dalam pada itu, seorang pelajar
Tahun Enam, Muhammad Al-Amin Mohamad Zaki berkata, dia menawarkan diri untuk menjadi ‘jenazah’ apabila diminta oleh penceramah bagi aktiviti simulasi cara memandi dan mengkafankan jenazah. –UTUSAN











